Date: Khamis, Ogos 22, 2024

Pada 20 Ogos 2024 telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pengarah Projek bagi Projek Blok Klinik Pakar dan Wad, Hospital Pulau Pinang (Reka & Bina) bertempat di Aras Mezzanine, Menara Kerja Raya, Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Hj. Badioezaman bin Ab. Khalik, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan diiringi YBrs. Ir. Abu Bakar bin Abd Aziz, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan. Turut hadir adalah YBrs. En. Rashidi bin Yahaya, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan, Kementerian Kesihatan Malaysia; YBrs. Dr. Rohaizan Binti Abd Kadir Jailani, Timbalan Pengarah, Kementerian Kesihatan Malaysia dan YBrs. Dr. Goh Hin Kwang, Pengarah Hospital Pulau Pinang.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan SST kepada YBhg. Dato’ Hj. Abd. Rahim bin Hj. Jaafar, Pengarah Urusan Syarikat Aim Concept Sdn. Bhd. diikuti penyerahan surat Pelantikan Pengarah Projek kepada YBrs. Ir. Suzzana binti Punari, Pengarah Pasukan Projek Khas 1.

Projek ini melibatkan pembinaan Blok Tambahan kepada Hospital Pulau Pinang sedia ada. Skop projek ini adalah membina blok pakar baharu sebanyak 216 katil yang merangkumi 8 dewan bedah, kemudahan awam, tempat letak kereta bertingkat, peralatan perubatan dan bukan perubatan serta peralatan ICT.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor berjaya. Semoga projek dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam tempoh pelaksanaan ditetapkan selama 247 minggu. Tarikh milik tapak projek ini pada 30 Ogos 2024 dan dijangka siap pada 24 Mei 2029.

Selain itu, tahniah juga diucapkan kepada pasukan yang terlibat dalam menjayakan projek ini sehingga selesai SST diketuai En. Massrol Nizzam bin Md Salleh (BPP1 CKK), pasukan HODT Ibu Pejabat JKR Malaysia, pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia serta lain-lain pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.