Date: Jumaat, March 4, 2022
Pada tanggal 25 Februari 2022 (Jumaat) dan bertempat di Dewan Sri Kinabalu, Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah  telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Lawatan Tapak bagi projek di bawah Cawangan Kerja Keselamatan yang melibatkan projek PEMBINAAN RKAT TAMBAHAN PELBAGAI KELAS DI KEM LOK KAWI, SABAH (REKA & BINA).
 
Majlis tertutup ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu  syarikat JAWALA CORPORATION SDN. BHD. Majlis ini turut dihadiri bersama Yang Berhomat Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, YBrs. Ir. Maria binti Marcus, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan selaku Pengurus Program bagi projek ini, YBrs. Ir. Jasmi bin Wahab, Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2, YBrs. Puan Emildah binti Sabin, Timbalan Pengarah(Pembangunan) dari Kementerian Pertahanan Malaysia (Cawangan Sabah), YBrs. Kolonel Zamli bin Mat Esa, Komander Artileri Division merangkap wakil kepada Panglima 5 Division Infantri dan pejabat HOPT yang terlibat.
 
Projek ini adalah projek di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia selaku pemilik kepada projek ini. Objektif projek ini adalah untuk menyediakan kemudahan kediaman yang bersesuaian dengan kelayakan bagi setiap pegawai di Kem Lok Kawi. Pembinaan projek kediaman ini bagi meningkatkan kualiti hidup warga Tentera Darat selaku aset terpenting dalam pertahanan negara. Selain daripada itu, Penyediaan kediaman yang selesa mampu meningkatkan moral dan mutu kerja yang tinggi dikalangan warga Tentera Darat. Ianya juga berupaya menjimatkan kos pengurusan dalam jangka masa panjang. Projek ini merupakan sebahagian daripada perancangan Tentera Darat dalam meningkatkan kualiti hidup warga Tentera Darat sejajar dengan hasrat pihak Kerajaan dalam menyediakan kediaman yang selesa dan mengikut kelayakan.
 
Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang telah ditetapkan.
 
JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti tinggi, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.