Date: Rabu, March 30, 2022
Pada tanggal 28 Mac 2022 (Isnin) dan bertempat di Dewan Emerald, Tingkat 18, Menara Maju, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek di bawah Cawangan Kerja Keselamatan yang melibatkan projek PEMBINAAN RKAT TAMBAHAN PELBAGAI KELAS KEM BATU 10 SIBU, SARAWAK(TENDER SEMULA)
 
Majlis tertutup ini telah disempurnakan oleh YBrs. Maria Binti Marcus, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan, Jabatan Kerja Raya Malaysia dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu  syarikat ALAMGHIR SDN. BHD. Majlis ini turut dihadiri bersama YBrs. Ir. Jasmi Bin Wahab, Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2, Jabatan Kerja Raya Malaysia, YBrs. Encik Mohd Radzuan Bin Abdul Manaf, Timbalan Setiausaha Bahagian (Pelaksanaan), dari Bahagian Pembangunan MINDEF, pejabat HOPT dan HODT yang terlibat.
 
Projek ini adalah projek di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia selaku pemilik kepada projek ini. Objektif projek ini adalah untuk menyediakan kemudahan kediaman yang bersesuaian dengan kelayakan bagi setiap pegawai di Kem Lok Kawi. Pembinaan projek kediaman ini bagi meningkatkan kualiti hidup warga Tentera Darat selaku aset terpenting dalam pertahanan negara. Selain daripada itu, Penyediaan kediaman yang selesa mampu meningkatkan moral dan mutu kerja yang tinggi dikalangan warga Tentera Darat. Ianya juga berupaya menjimatkan kos pengurusan dalam jangka masa panjang. Projek ini merupakan sebahagian daripada perancangan Tentera Darat dalam meningkatkan kualiti hidup warga Tentera Darat sejajar dengan hasrat pihak Kerajaan dalam menyediakan kediaman yang selesa dan mengikut kelayakan.
 
Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang telah ditetapkan.
 
JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti tinggi, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.