Date: Khamis, March 1, 2018

Majlis penyerahan Surat Setuju Terima dan Dokumen Kontrak kepada kontraktor yang dilantik bagi Kerja-Kerja Pembaikan Dan Penggantian Sistem Penyaman Udara dan Lain-Lain Kerja Berkaitan di Hospital Serdang, Selangor telah berlangsung dengan jayanya pada hari Rabu, 28 Februari 2018 bertempat di Blok G, Menara KKR. Penyerahan Surat Setuju Terima dan Dokumen Kontrak ini merupakan salah satu inisiatif yang telah digariskan dalam penambahbaikan pelaksanaan projek bagi memastikan JKR dapat memainkan peranan yang lebih berkesan.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha. Kerja - kerja pembaikan adalah bagi menyelesaikan masalah kondensasi sistem penyaman udara yang berlaku di Hospital Serdang. Projek ini merupakan projek pembaikan retrofit yang melibatkan sistem penyaman udara, sistem penggantungan siling dan integriti concrete slab bagi hospital yang sedang beroperasi dan menggunakan sistem sedia ada.

Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Ibu Pejabat JKR Malaysia telah dilantik sebagai Head of Project Team (HOPT) dan Pegawai Penguasa kerana skop kerja mekanikal merupakan skop utama projek ini. Kaedah pelaksanaan projek adalah secara berpakej yang turut melibatkan kerja-kerja awam dan kerja-kerja elektrik.

JKR selaku agensi pelaksana yang diamanah untuk melaksanakan projek demi kepentingan rakyat berusaha sebaik mungkin bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan mengikut tempoh yang ditetapkan.