Date: Jumaat, Oktober 9, 2020

Pada 30 September 2020 (Rabu) telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan sesi menandatangani dokumen kontrak bagi Cadangan Projek Pemasangan Sistem Solar Hibrid Untuk 134 Buah Sekolah Luar Bandar Negeri Sarawak. Majlis penyerahan SST tersebut telah diadakan di Ruang Menunggu, Aras 1, Menara Kerja Raya (Blok G), Ibu Pejabat JKR Malaysia Kuala Lumpur.

Majlis (2 dalam 1) ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya bersama YBhg. Datin Ar. Hajjah Mariani Noor Binti Suhud Kasim selaku Pengarah Kanan Cawangan Arkitek yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), turut hadir En. Mohamed Bin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan (Cawangan Pembangunan Pendidikan) Kementerian Pendidikan Malaysia selaku wakil kementerian pelanggan, YBrs. Ir. Badioezaman Bin Ab. Khalik selaku Pengarah Khidmat Rekabentuk, Cawangan Kejuruteraan Awam & Struktur dan YBrs. Ir. Hanizan Binti Shaffii selaku Pengarah Perkhidmatan Pakar Cawangan Kejuruteraan Elektrik.

Kaedah perlaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman yang mana Cawangan Kerja Pendidikan (CKP) selaku Pengurus Program dan dengan kerjasama di antara HOPT iaitu Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) serta semua Pasukan HODT yang melibatkan Unit Perunding Kecekapan Tenaga Elektrik, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Bahagian Rekabentuk Fasiliti Pendidikan Cawangan Arkitek (CA), Bahagian Struktur Pendidikan Cawangan Kejuruteraan Awam & Struktur (CKAS), Bahagian Rekabentuk Pendidikan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM), Bahagian Rekabentuk Geoteknik 2 (Kejuruteraan Struktur Asas) Cawangan Kejuruteraan Geoteknik (CKG) dan Bahagian Pendidikan Cawangan Kontrak & Ukur Bahan (CKUB). Manakala Pengarah Perkhidmatan Pakar, Cawangan Kejuruteraan Elektrik dilantik sebagai Pegawai Penguasa (S.O) bagi projek ini.

Projek ini dilaksanakan secara pakej iaitu Pakej 1 hingga Pakej 6. Pembahagian pakej adalah berdasarkan faktor lokasi, geografi dan keadaan akses ke sekolah. Perolehan projek ini telah dilaksanakan secara tender terbuka. Tempoh perlaksanaan projek adalah selama 18 Bulan bermula daripada tarikh milik tapak iaitu pada 13 Oktober 2020 sehingga 13 April 2022. Kontraktor yang berjaya adalah seperti berikut:

PAKEJ 1

BUMIHUA SDN. BHD.

PAKEJ 2

DEMI CERAH CONSTRUCTION SDN. BHD.

PAKEJ 3

SERVICE MASTER (M) SDN. BHD.

PAKEJ 4

LANDBASE (KOK) SDN. BHD.

PAKEJ 5

KONSORTIUM IGMS HARMONI SDN. BHD.

PAKEJ 6

SMART RELIANCE SDN. BHD.

Di dalam majlis ini juga pihak kontraktor telah menandatangani Akujanji Kontraktor yang menyatakan kontraktor akan melaksanakan amanah projek yang diberikan dengan tekun dan teratur serta akan menyiapkan projek ini dengan kualiti yang menepati spesifikasi, masa dan kos yang ditetapkan.

Skop yang terlibat adalah melibatkan pembinaan struktur solar dan pemasangan sistem solar hibrid sebagai alternatif bekalan elektrik 24jam bagi kegunaan kompleks sekolah. Antara ciri-ciri keistimewaan rekabentuk sistem solar hibrid bagi pelaksanaan projek ini adalah:

  1. Struktur solar direka dengan konsep Ruang Pelbagai Guna atau multipurpose  untuk aktiviti persekolahan;
  2. Sistem yang modular iaitu pemasangan lebih mudah di tapak dan mengambil kira future system extension sekiranya terdapat pertambahan beban di masa hadapan;
  3. Tersedia sambungan grid di masa hadapan, bagi mengoptimumkan fungsi setiap komponen dan kos jangka hayat yang lebih efektif;
  4. Penggunaan sistem penstoran tenaga berasaskan teknologi bateri terkini menggunakan bateri jenis Sodium dan Lithium. Penggunaan sistem penstoran ini dapat memastikan tempoh hayat sekali ganda berbanding penggunaan bateri konvensional jenis Lead Acid. Disamping itu, keperluan ruang simpanan bateri juga dapat dikurangkan dengan kos yang lebih efektif.

 

Justeru, JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan dalam kontrak.