Date: Selasa, Mei 14, 2024

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) 2 in 1 bagi projek Naik Taraf Lapang Sasar Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Pahang – Tender Semula telah diadakan pada 13 Mei 2024 (Isnin) di Bilik Mesyuarat BPP2, Tingkat 16, Cawangan Kerja Keselamatan, Maju Tower, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kuala Lumpur.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan iaitu YBrs. Ir. Maria Binti Marcus.

Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Dr. Muhammad Taufiq bin Ahmad, Penolong Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri dan YBrs. Lt. Kdr (M) Muharam bin Hamid, Penolong Pengarah Kanan, Prasarana & Infrastruktur, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Turut hadir bersama ke majlis ini ialah YBrs. Ar. Mohd Hafizzudin bin Md Zahir, Arkitek Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek 5, CKS serta pasukan projek HOPT dan HODT.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan Surat Setuju Terima dan Dokumen Kontrak kepada Kontraktor Bina Alam Ventures Sdn. Bhd dan majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Aku Janji Kontraktor yang disaksikan oleh YBrs. Ir. Maria Binti Marcus.

Skop projek ini adalah menaiktaraf Lapang Sasar Terbuka Sedia ada yang merangkumi kerja-kerja menanggalkan peralatan sedia ada seperti Overhead Safety Baffle, Hyte Target, Flipping Target dan Submersible Pump; membina Shooting Platform, membina Overhead Safety Baffle; membina 7-meter Concrete Wall, membina Bunker Concrete Roof dan membina Bullet Trap.

Projek ini telah direkabentuk secara konvensional Dalaman oleh pihak JKR.

Tahniah diucapkan kepada kontraktor yang berjaya iaitu Bina Alam Ventures Sdn. Bhd. dengan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 104 minggu. Tarikh milik tapak projek ini pada 20 Mei 2024 dan jangka siap pembinaan pada 17 Mei 2026.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.