Date: Isnin, Julai 24, 2023

Pada tanggal 17 Julai 2023 (Isnin) bertempat di Bilik Mesyuarat Dahlia, Tingkat 3, Blok A, Kompleks Kementerian Kerja Raya telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) 2 in 1 dan penyerahan rasmi pelantikan Pegawai Penguasa bagi projek di bawah Cawangan Jalan iaitu PROJEK MENGGANTIKAN JAMBATAN FT003/675/40 SUNGAI KELONG, PASIR PUTEH, KELANTAN.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Sri Abdul Rahman bin Hj. Mohamad, Timbalan Menteri Kerja Raya dengan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan dokumen kontrak kepada kontraktor yang berjaya iaitu NARA IMPIAN SDN. BHD. Majlis turut dilengkapi dengan penyerahan surat rasmi pelantikan Pegawai Penguasa kepada Jurutera Jajahan. JKR Jajahan PasIr Puteh, Kelantan, YBrs. Ir. Mohd Zahir b. Zakaria.

Turut hadir bersama adalah YBhg. Dato’ Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar & Pembangunan) KKR, YBhg. Datuk Ir. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Ir. Hj Zulkipli bin Hj Nasri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan, YBrs. Ir. Mohd Sharip bin Wahijan, Pengarah Pakar Kejuruteraan Jalan Dan Jambatan serta wakil-wakil HOPT dan HODT.

Projek ini adalah projek di bawah Kementerian Kerja Raya selaku pemilik.  Objektif pelaksanaan projek ini adalah untuk meningkatkan tahap keselamatan kepada pengguna jalan raya serta memantapkan sektor industri logistik negara. Projek ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan untuk menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat Malaysia.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang telah ditetapkan.

Alhamdulillah. Diharap kejayaan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) ini dapat dijadikan semangat kepada semua pihak dalam urusan pelaksanaan projek yang seterusnya.  Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah berusaha keras merealisasikan harapan ini.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.