Date: Selasa, November 17, 2020

Bertempat di Pejabat Ketua Pengarah Kerja Raya, Aras 33, Blok G, Ibu Pejabat JKR Malaysia pada 16 November 2020, telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Cadangan Projek Pemasangan Sistem Solar Hibrid untuk 134 buah sekolah luar bandar Negeri Sarawak bagi Pakej 7, 8 dan 9 yang dilaksanakan oleh Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR Malaysia.

Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor-kontraktor yang berjaya ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya. Kontraktor-kontraktor yang berjaya bagi Pakej 7, 8 dan 9 adalah seperti berikut:

  1. LAYUN ENTERPRISE SDN. BHD. – Pakej 7
  2. PARAGON MEGALINK SDN. BHD – Pakej 8
  3. TUCHONG NANING SDN. BHD. – Pakej 9

Turut hadir semasa Majlis Penyerahan SST ini adalah YBhg. Datuk Ir Razdwan bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBrs. Ir Hanizan bt Shaffii, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik,  YBrs. Ir Zuraidah Binti Muhamad, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan, Bahagian Penyelarasan & Khidmat Sokongan yang menjalankan tugas Pengarah Perkhidmatan Pakar Cawangan Kejuruteraan Elektrik, YBrs. En Norazmi bin Hj Razli, Akitek Penguasa Kanan, mewakili Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan, YBrs. Ir Rudy bin Amir, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan, Unit Perunding Kecekapan Tenaga Elektrik dan YBrs. En Hafidzri Fidyatulnaim bin Hamzah, mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia.

Objektif utama perlaksanaan projek ini adalah untuk menyediakan sistem tenaga elektrik alternatif menggunakan sistem solar hibrid untuk bangunan sekolah, rumah guru dan semua kemudahan asas elektrik yang terdapat di kawasan sekolah.

Pelaksanaan program bekalan elektrik luar bandar melalui Sistem Solar Hibrid adalah penyelesaian yang paling optimum (technically and economically viable)  bagi menggantikan/naik taraf sistem sedia ada iaitu stand-alone janakuasa diesel (genset) yang tinggi kos operasinya serta dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2).

JKR selaku jabatan teknikal dan agensi pelaksana Kerajaan sentiasa memikul amanah rakyat demi memenuhi aspirasi Kerajaan dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan penyampaian perkhidmatan yang terbaik serta mengikut kos dan tempoh yang ditetapkan. Bagi merealisasikan aspirasi Kerajaan, adalah diharapkan kontraktor-kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen dan kesungguhan demi memastikan kejayaan projek ini. Seterusnya projek ini dapat diserahkan dengan sempurna kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada warga sekolah serta memberi manfaat kepada pengguna (pihak sekolah) dalam mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) khususnya di kawasan luar bandar.