Date: Jumaat, Julai 19, 2024

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pegawai Penguasa bagi projek Cadangan Kerja-Kerja Ubahsuai/Naiktaraf Ruang Pejabat Sedia Ada Kepada Makmal Kastam Di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), Melaka telah diadakan pada 18 Julai 2024 (Khamis) di Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Aras 14, Menara PJD, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kuala Lumpur.

Majlis penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu FITRAS BUILDERS (M) SDN. BHD ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ar. IDr. Azman Bin Md Hashim selaku Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1. Majlis juga turut menyaksikan penyerahan surat rasmi pelantikan Pegawai Penguasa kepada Jurutera Daerah JKR Melaka Tengah, iaitu YBrs. Ir. Mahalil Bin Mohtar dengan kehadiran bersama wakil-wakil dari HOPT dan HODT yang terlibat.

Projek Cadangan Kerja-Kerja Ubahsuai/Naiktaraf Ruang Pejabat Sedia Ada Kepada Makmal Kastam Di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL), Melaka adalah projek di bawah Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia ‎merupakan pemilik kepada projek ini.‎ Objektif pelaksanaan bagi Penubuhan Makmal Kastam berskala kecil yang akan dikendalikan oleh JKDM ini adalah untuk menganalisis Rokok dan Minuman Keras (RMK) bagi menyokong misi Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) untuk meningkatkan kutipan hasil negara, memberikan fasilitasi bagi membantu perdagangan antarabangsa, dan meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan peniaga yang sah serta memastikan keselamatan negara.

Projek ini merupakan Projek Kerajaan Persekutuan yang telah diluluskan untuk pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan 4 dengan kaedah pelaksanaan secara Konvensional Dalaman. Makmal ini akan dibangunkan di dalam kawasan AKMAL Melaka yang terletak di Ayer Keroh, Melaka dengan mengubahsuai / menaiktaraf dua (2) tingkat ruang pejabat sedia ada yang tidak lagi digunakan, kepada makmal kimia dan juga ruang pejabat, stor sampel dan stor bahan kimia.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang ditetapkan.

Diharap kejayaan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) ini dapat dijadikan semangat kepada ‎semua pihak dalam urusan pelaksanaan projek yang ‎seterusnya.‎ Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan ‎kepada semua pihak yang telah berusaha keras ‎merealisasikan harapan ini.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek-projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan dalam kontrak.