Date: Jumaat, Jun 17, 2022

14 Jun 2022 - Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Projek Pembinaan Pusat Aktiviti Setia Perdana telah diadakan semasa Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Agung Perwakilan (MAP) PUSPANITA Kali Ke-40 di Dewan De’ Seri Indon           PUSPANITAPURI, Putrajaya. Majlis Penyerahan SST berkenaan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada wakil firma kontraktor yang berjaya iaitu En. Mohd Noor bin Mohd Ali, Pengarah Paragon Merger Services Sdn. Bhd. dengan disaksikan oleh YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali Ketua Setiausaha Negara selaku Penasihat PUSPANITA, Yang DiPertua PUSPANITA Kebangsaan YBhg. Puan Sri To’ Puan Seri Norizam binti Che Mohd Nor, dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) YBhg. Dato' Sollehuddin Alyubi bin Zakaria. Harga kontrak bagi projek ini adalah RM19,727,315.00, tempoh kontrak selama 104 minggu, Tarik Milik Tapak pada 26 Julai 2022 dan Tarikh Siap pada 22 Julai 2024.

 

Projek Pembinaan Pusat Aktiviti Setia Perdana adalah projek di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku pelanggan dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) adalah selaku pengguna kepada projek ini. Pelaksanaannya adalah bertujuan untuk mengadakan sebuah bangunan untuk melaksanakan aktiviti berunsurkan keusahawan, pendidikan, kebudayaan dan kecerdasan bagi para ahli PUSPANITA, penjawat awam, dan komuniti setempat. Ia bakal dilengkapi fasiliti seperti dewan serbaguna, bilik seminar, gimnasium, kafe serta ruang pameran dan jualan untuk usahawan wanita.

 

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang ditetapkan.