Date: Rabu, March 21, 2018

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik bagi Projek Pembinaan Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam Seremban,  Negeri Sembilan, Projek Pembinaan Padang Bola Sepak Tiruan (Artificial Turf) Di Taman Megah Pontian, Johor, Projek Central Spine Road (CSR) Pakej 3 : Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Pahang ; Seksyen 3D : Bulatan Gua Musang ke Mentara dan Program Menggantikan Jambatan Uzur Untuk Tujuan Peningkatan Had Berat Muatan Kenderaan Perdagangan Di Semenanjung Malaysia telah berlangsung dengan jayanya pada hari Rabu, 21 Mac 2018 jam 1.00 tengah hari di Aras Mezzanine, Menara Kerja Raya.

Majlis telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz Bin Hj. Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBrs. Ir. Kamaluddin Bin Hj. Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ar. Zairul Azidin bin Badri, Pengarah Kanan Cawangan Arkitek yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) serta barisan Pengarah – Pengarah Kanan dan Pengarah – Pengarah Cawangan dan Negeri.

Dalam ucapan YBhg. Dato’ Sri mengucapkan setinggi – tinggi syabas dan tahniah kepada semua pihak yang berusaha keras merealisasikan hasrat di mana penyerahan Surat Setuju Terima dan Dokumen Kontrak ini merupakan salah satu inisiatif yang telah digariskan dalam penambahbaikan pelaksanaan projek bagi memastikan JKR dapat memainkan peranan yang lebih berkesan. YBhg. Dato’ Sri turut mengucapkan tahniah kepada syarikat – syarikat kontraktor yang telah dilantik iaitu Highwave Resources Sdn. Bhd., Kejuruteraan Tempura Usaha Sdn. Bhd., Pembinaan Jaya Zira Sdn. Bhd. JV Iscorp Sdn. Bhd. dan Dura Construction Sdn. Bhd. dan harapan beliau agar semua kontraktor memberikan komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan mengikut kontrak.

Selain itu, YBhg. Dato’ Sri berharap semua pihak dapat bekerjasama untuk memenuhi hasrat YAB Perdana Menteri agar tahun 2018 ini merupakan “Tahun Kejayaan Dan Keberhasilan Yang Mengagumkan Atau Year of Success and Impressive Result. YBhg. Dato’ Sri turut menyarankan supaya segala usaha dan tenaga perlu digembleng dalam memastikan setiap projek dan program pembangunan dilaksanakan dengan pantas, berkesan dan benar-benar memberi impak positif kepada kesejahteraan hidup rakyat.

JKR selaku agensi pelaksana yang diamanah untuk melaksanakan projek demi kepentingan rakyat berusaha sebaik mungkin bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Majlis diteruskan dengan Penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor-kontraktor yang dilantik dengan disaksikan oleh para hadirin yang hadir. Majlis bersurai pada jam 2.00 petang.