Date: Khamis, Julai 20, 2023

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pegawai Penguasa bagi projek PEMBINAAN FASA KEDUA PUSAT LATIHAN ISLAM LAWAS SARAWAK telah diadakan pada 17 Julai 2023 (Isnin) di Bilik Mesyuarat Cenderawasih, Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Menara PJD, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kuala Lumpur.

Majlis ini disempurnakan oleh YBhg. Dato' Ar. IDr. Azman bin Md Hashim, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1). Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Tuan Haji Ahmad Fuad bin Apandi, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan YBrs. Ir. Jasmi bin Wahab, Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) masing-masing selaku wakil Agensi Pelanggan dan Pegawai Penguasa Projek yang dilantik. Turut sama hadir ke majlis ini ialah YBrs. Sr Fadziah binti Jhaya, Juruukur Bahan Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek 2, CKBA1 serta pasukan projek HOPT, HODT dan Para Perunding yang dilantik.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor Welfield Services Sdn Bhd diikuti penyerahan surat Pelantikan Pegawai Penguasa kepada YBrs. Ir. Jasmi bin Wahab, Pengarah Pembinaan Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) seterusnya sesi menandatangani Aku Janji Kontraktor yang disaksikan YBhg Dato’ Pengarah Kanan CKBA1 sendiri.

Projek ini telah diluluskan untuk pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), rolling plan keempat, tahun 2019 dengan JAKIM sebagai agensi pelanggan dan  Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Lawas selaku pengguna. Objektif projek ini bertujuan menyediakan ruang pembelajaran dan penginapan kepada pelatih/pelajar yang mencukupi agar lebih selesa. Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Perunding.

Skop Projek adalah merangkumi Bangunan Akademik, Blok Asrama (Lelaki dan Perempuan), Blok Dewan Makan, Surau, Kuarters D (Teres), Kuarters E (Berkembar), Kuarters F (6 unit), Pondok Rehat / Wakaf, Gelanggang Berbumbung Serbaguna, Bangunan-Bangunan Sokongan, Kerja-kerja Elektrik dan Mekanikal serta Kerja-Kerja Infrastruktur berkaitan.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada JPM dan JAKIM kerana memberi kepercayaan kepada JKR dan CKBA1 untuk merealisasikan projek ini. Syabas dan tahniah juga kepada Pasukan Projek yang terdiri dari HOPT dan HODT dari Ibu Pejabat JKR Malaysia serta para perunding yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam melaksanakan sehingga perolehan projek dapat diselesaikan sehingga SST projek ini berjaya dikeluarkan. Jabatan Kerja Raya sentiasa berharap agar kerjasama antara agensi-agensi kerajaan, perunding dan kontraktor akan terus terjalin erat bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dan disiapkan dengan berkualiti, kos efektif dan tempoh masa yang ditetapkan.