Date: Jumaat, April 6, 2018

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Permulaan Kerja Projek National Centre For Food Safety (NCFS) di Sepang, Selangor kepada kontraktor yang dilantik telah berlangsung dengan jayanya pada hari Khamis, 5 April 2018 di tapak projek.

Majlis telah disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Datuk Seri S.Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia dan Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia dan turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir. Ruslan Bin Abd Aziz, Pengarah JKR Negeri Selangor, YBrs. En Mohd Rahim Bin Kawangit, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, Ibu Pejabat JKR, YBhg. Dato’ Haji Marsum Bin Paing, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Kawasan Parlimen Sepang, Yang Berhormat Tuan Haji Sharom Bin Haji Mohd Sharif, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Dengkil, dan YBhg. Dato’ Dr. Khalid Bin Ibrahim, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor.

Majlis dimulakan dengan doa serta ucapan aluan yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Ir. Ruslan Bin Abd Aziz, Pengarah JKR Negeri Selangor merangkap Pengarah Projek dan disusuli oleh taklimat ringkas projek yang disampaikan oleh Ir. Pauzi Bin Mohamad, Head of Project Team 2 (HOPT2), Cawangan Kerja Kesihatan. Majlis diteruskan lagi dengan ucapan YBhg. Dato’ Haji Marsum Bin Paing, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Kawasan Parlimen Sepang diikuti ucapan perasmian oleh YB Datuk Seri S. Subramaniam.

Dalam ucapan YB Datuk Seri mengucapkan setinggi – tinggi syabas dan tahniah kepada semua pihak yang berusaha keras menjayakan pembangunan projek ini pada peringkat perancangan hinggalah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima dan permulaan kerja bagi Projek NCFS ini. Projek NCFS adalah merupakan manifestasi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, bertanggungjawab untuk melindungi orang ramai dari segi bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan. Projek ini juga merupakan salah satu projek berimpak tinggi di peringkat kebangsaan yang akan menjadi kebanggaan di Daerah Sepang, Selangor. Rakyat harus berbangga di atas pembangunan projek ini yang juga akan menjadi pusat tunggal di dalam bidang keselamatan makanan di negara ini. Selain itu, YB Datuk Seri berharap semua pihak yang terlibat dapat memberikan komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan mengikut kontrak.

JKR selaku agensi pelaksana yang diamanahkan untuk melaksanakan projek demi kepentingan rakyat juga diharap berusaha sebaik mungkin bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Majlis diteruskan dengan Penyerahan Surat Setuju Terima kepada wakil kontraktor yang dilantik dan acara simbolik permulaan kerja telah disempurnakan bersama oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia dan YB Menteri Kerja Raya Malaysia dengan disaksikan oleh para hadirin yang hadir.

Majlis bersurai pada jam 12.00 tengahari.