Date: Isnin, Oktober 4, 2021

Pada tanggal 29 September 2021 (Rabu) dan bertempat di Aras Mezannine, Blok G, Menara Kerja Raya telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan penyerahan surat rasmi pelantikan Pegawai Penguasa bagi dua (2) projek di bawah Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) yang melibatkan projek PEMBINAAN TAPAK SIMULASI BENCANA BAGI PASUKAN MENCARI DAN MENYELAMAT KHAS MALAYSIA (SMART) DI MARKAS SMART, PULAU MERANTI SELANGOR dan projek PEMBINAAN BANGUNAN ASRAMA PELAJAR, KAFETERIA DAN KEMUDAHAN-KEMUDAHAN LAIN DI LANGKAWI TOURISM ACADEMY (LTA) @ KOLEJ KOMUNITI LANGKAWI.

Majlis tertutup ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Ir. Haji Habbali bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu  B&I BUILDER SDN. BHD. bagi projek SMART Selangor dan  MAJU MERGE RESOURCES SDN. BHD. bagi projek LTA Langkawi. Majlis turut dilengkapi dengan penyerahan surat rasmi pelantikan Pegawai Penguasa bagi projek SMART Selangor kepada Pengarah JKR Negeri Selangor, YBrs. Tuan Ir. Haji Lokman bin Haji Nasir dan Jurutera Daerah JKR Langkawi, YBrs. Tuan Haji Ahmad Lokman bin Saidin selaku Pegawai Penguasa bagi projek LTA Langkawi.

Turut hadir bersama adalah wakil dari Kementerian Kewangan Malaysia, YBrs. Encik Mukhlis bin Ismail, YBrs. Puan Haslinda binti Abdul Gahni wakil dari Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Ir. Malek bin Hisham dari Pengurusan Bencana Negara (NADMA), YBrs. Kapten Muhammad Zulhilmi bin Zahari dari Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), YBrs. Dr. Bibie Sara binti Salleh dari Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, dan YBrs. Puan Nik Ainun Zanariah binti Nik Abd Rashid, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 selaku Pengurus Program bagi projek-projek ini serta wakil dari pejabat HOPT yang terlibat.

Projek Pembinaan Tapak Simulasi Bencana Bagi Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Di Markas Smart, Pulau Meranti Selangor adalah projek di bawah Jabatan Perdana Menteri dan NADMA adalah selaku pemilik kepada projek ini. Projek  ini bersifat kompleks dan berkategori unik. Pelaksanaannya adalah bertujuan untuk melatih pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sewaktu berhadapan dengan pelbagai situasi bencana dan kecemasan.

Pembinaan projek ini akan memudahkan pelaksanaan latihan sekaligus dapat meningkatkan kepakaran pegawai dan anggota SMART dalam kepelbagaian penugasan ketika penglibatan pasukan SMART dalam sesuatu bencana yang melibatkan runtuhan bangunan. Selain itu, fasiliti latihan yang akan disediakan dalam projek ini akan memudahkan pasukan SMART untuk mengekalkan pengiktirafan INSARAG (International Search and Rescue Advisory Group) iaitu satu badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa berkenaan operasi bencana rentas sempadan.

Projek Pembinaan Bangunan Asrama Pelajar, Kafeteria dan Kemudahan-Kemudahan Lain Di Langkawi Tourism Academy (LTA) @ Kolej Komuniti Langkawi adalah projek di bawah Kementerian Kewangan Malaysia bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Kementerian Pengajian Tinggi. Projek yang akan dibangunkan ini terletak di atas sebahagian tanah Langkawi Tourism Academy yang berkeluasan 10.6 hektar di Pulau Langkawi, Kedah Darul Aman dan bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Semoga dengan siapnya projek ini kelak akan memberi banyak manfaat kepada penduduk-penduduk di Pulau Langkawi memandangkan LTA adalah merupakan sebuah institusi yang menawarkan kursus perhotelan dan seterusnya pelajar-pelajar yang keluar dari institusi ini akan mendapatkan peluang pekerjaan di hotel-hotel yang terdapat di Pulau Langkawi.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang ditetapkan.

Alhamdulillah. Selaras dengan hasrat Keluarga Malaysia dan pencapaian 100 hari Menteri Kanan Kerja Raya, JKR Malaysia pada hari ini telah dapat menyumbangkan penyerahan dua (2) Surat Setuju Terima (SST) dan semoga kejayaan seperti ini dapat menyusul pada masa terdekat bagi merealisasikan matlamat tersebut.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek-projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan dalam kontrak.