Date: Selasa, Jun 11, 2024

Pada 10 Jun 2024, telah diadakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa bagi Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pulau Indah (Fasa 2) – Melaksanakan Kerja-Kerja Menaik Aras Lintasan Rata Awam KTMB bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR Malaysia. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan (PKCJ).

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan serta taklimat projek yang disampaikan En. Ahmad Zaidi bin Mat Said, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek Zon Tengah selaku HOPT projek ini. Majlis diteruskan dengan sesi penyerahan Surat Setuju Terima dan Dokumen Kontrak kepada kontraktor yang berjaya iaitu Kemas Dagang Sdn. Bhd. dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa kepada Ir. Zaizul Hisham bin Zainol, Jurutera Daerah JKR Klang, Selangor.

Skop kerja bagi Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pulau Indah (Fasa 2) – Melaksanakan Kerja-Kerja Menaik Aras Lintasan Rata Awam KTMB adalah seperti berikut:

  1. Penyediaan dan Pembersihan Tapak;
  2. Kerja-Kerja Turapan;
  3. Perabot Jalan;
  4. Kerja-Kerja Menaik Aras Lintasan Rata Awam KTMB;
  5. Kawalan & Pengurusan Trafik;
  6. Kerja-Kerja Penyelenggaraan dan Rutin;
  7. Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan; dan
  8. Pengalihan Tiang Lampu Sediada

Majlis ini juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, Kementerian Kerja Raya, HOPT (BPP Zon Tengah), HODT (BRJ Zon Tengah & BKUB Cawangan Jalan, CKIP, CKG, CKE dan CASKT), Lembaga Pelabuhan Klang, Perbadanan Aset Keretapi dan Keretapi Tanah Melayu Berhad. Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan adalah diharapkan pihak kontraktor dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek menepati masa, kualiti dan kos yang telah ditetapkan. Setinggi ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan projek ini.