Date: Isnin, Jun 13, 2022

Bertempat di Tingkat 19 Menara Maju Kuala Lumpur, pada 9 Jun 2022, 3.00 petang telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST), Dokumen Kontrak, Lukisan Pembinaan (2 dalam 1) dan Penyerahan Surat Rasmi Perlantikan Pegawai Penguasa bagi Projek; 

PEMBINAAN BAHARU BALAI POLIS BUKIT JELUTONG, SELANGOR.

Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Maria Binti Marcus, Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan selaku Pengurus Program Projek dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu; 

  • Zinpac Enterprise Sdn. Bhd.

serta penyerahan surat pelantikan Pegawai Penguasa kepada;

  • Pengarah JKR Selangor,Ir. Mohd Zawawi Bin Zakari (wakil)

Majlis turut dimeterai dengan sesi tandatangan dan ikrar Aku Janji daripada kontraktor yang berjaya bersama Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan.

Turut hadir bersama adalah wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), YBrs. Tn. Jaganathan A/L N.Krishnasamy, Penolong Setiausaha, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), ASP Norerlina Binti Arbain, PDRM, Ketua Bahagian Pengurusan Projek 4, Ir. Zamilah Binti Said, serta barisan pasukan projek yang terdiri daripada HOPT dan wakil-wakil dari pejabat HODT pakar yang terlibat.

Pengarah CKS melalui ucapan perasmiannya menetapkan arahan kepada kontraktor supaya berazam untuk memberikan yang terbaik, sesuai dengan kepercayaan yang telah diberikan oleh kerajaan. Pihak Kontraktor perlu mematuhi setiap spesifikasi yang telah dinyatakan dalam kontrak termasuk pengurusan keselamatan dan kesihatan di tapak bina, meningkatkan mutu kerja pembinaan, mengurangkan berlakunya kecacatan (defect) serta risiko kemalangan di tapak bina. Diingatkan jua supaya kontraktor untuk memastikan projek dapat disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan penyerahan kelak dapat dilaksanakan secara 4 dalam 1.

Besar harapan JKR agar kontraktor yang dilantik ini dapat memberi komitmen yang tinggi dalam memastikan pelaksanaan projek ini mengikut jadual dan menepati kualiti yang ditetapkan serta dapat memenuhi citarasa dan keperluan pihak pelanggan. Kontraktor juga adalah diingatkan bahawa prestasi mereka akan dinilai sepanjang tempoh kontrak dan Kerajaan juga berhak menamatkan kontrak ini sekiranya pihak kontraktor gagal menunjukkan prestasi kerja yang optimum atau melanggar mana-mana terma kontrak kelak. 

Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini bermula dari Fasa Perancangan, Rekabentuk dan Perolehan dan kini projek ini siap sedia untuk memasuki Fasa Pembinaan.