Pada hari ini 17 Mei 2024 (Jumaat) jam 3.00 petang telah berlangsung Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) yang telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Ir. Shukri bin Ishak, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan (CKK). Majlis bertempat di Lobi Aras 23, Menara Kerja Raya, Blok G, Ibu Pejabat JKR Malaysia.
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan KKM iaitu Yang Berusaha En. Mohd Saiful Bin Mohd Zain, Yang Berusaha Ir. Mohd Zahir bin Zakaria, Jurutera Jajahan Pasir Puteh mewakili Pengarah Kerja Raya Negeri Kelantan, selain Ketua-ketua Bahagian, HODT terlibat serta kontraktor yang berjaya.
Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengarah CKK dan sesi berikutnya diteruskan dengan acara penyerahan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa kepada Wakil Pengarah JKR Kelantan, penyerahan Surat Setuju Terima kepada kontraktor, bacaan serta menandatangani Aku Janji Kontraktor.
Skop keseluruhan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters Selising, Pasir Puteh, Kelantan (Gantian) ini adalah melibatkan;
- Meroboh Blok Bangunan sedia ada serta Infrastruktur sedia ada di tapak
- Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 (PAP Piawai) dan Blok Sokongan baharu yang terdiri daripada Garaj Ambulans, Rumah Pam, Rumah Sampah, Pondok Pengawal, Pakir berbumbung, Pencawang elektrik, Stor serta Refuse Chamber
- Infrastruktur pula terdiri daripada SSTS, OSD, Laluan Pejalan Kaki berbumbung, Sistem Saliran dan pembentungan dan Tube Well
- Pembinaan Kuarters 2 Unit Kelas F & 2 Unit Kelas G
- Perolehan Peralatan Perubatan dan Bukan Perubatan
Projek ini akan dibina di atas tapak sedia ada yang berkeluasan 16,442.37 meter persegi terletak di Mukim Selising, Jajahan Pasir Puteh. Pelaksanaan projek menggunakan Pre-Approved Plan (PAP) dengan menggunakan Industrialized Building System (IBS) dan Building Information Modelling (BIM), Level of Development 500 (LOD500).
Tahniah diucapkan kepada kontraktor yang berjaya, diharapkan agar projek ini dapat disiapkan mengikut kos, masa dan kualiti seperti yang telah ditetapkan oleh pihak JKR.
- 1678 bacaan