Date: Khamis, Ogos 22, 2024

Pada 15 Ogos 2024, (Khamis), 2.30 petang – Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Pelantikan Pegawai Penguasa (S.O) bagi projek di bawah Cawangan Kejuruteraan Elektrik iaitu Cadangan Penggantian Sistem Private Automatic Branch Exchange (PABX) Secara Keseluruhan Di Bangunan Perbendaharaan Malaysia (Blok 2G2) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Delima 2, Tingkat 1, Menara Kerja Raya (Blok G), Ibu Pejabat JKR Malaysia.

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Pelantikan Pegawai Penguasa (S.O) telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Noor Ashikin binti Md. Tamimi, Pengarah Perkhidmatan Pakar, yang menjalankan tugas Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Ibu Pejabat JKR Malaysia kepada kontraktor yang berjaya dan JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya selaku Pegawai Penguasa bagi projek ini. Majlis turut dihadiri oleh Encik Norulazwan bin Nordin selaku Ketua Pasukan Projek (HOPT) dan Ir. Syamsul Kamal bin Ismail selaku Ketua Pasukan Rekabentuk (HODT) serta beberapa lagi pegawai lain yang turut terlibat dengan projek ini.

Antara skop bagi projek ini adalah: -

  1. Pemasangan Sistem IP PBX Baharu
  2. Penggantian Horizontol & Backbone Cabling
  3. Pemasangan set IP Phone dan Call Billing System
  4. Kerja-kerja Integrasi
  5. Menanggalkan Sistem PABX yang lama

Objektif pelaksanaan projek adalah untuk menaiktaraf sistem telefon di keseluruhan bangunan Perbendaharaan Malaysia (Blok 2G2) agar pengoperasian sistem telefon di Kementerian Kewangan Malaysia dapat beroperasi dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Diharapkan projek ini dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti pengurusan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi kerajaan agar projek ini dapat disempurnakan dengan jayanya mengikut kos, kualiti dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.