Date: Selasa, September 24, 2024

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Tender bagi Pembinaan 10 Buah Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Di Negeri Terengganu telah diadakan pada 9 September 2024 (Isnin) di Aras 12, Bilik Gerakan, Ibu Pejabat JKR Negeri Terengganu,Terengganu.

Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Dr. Hasli Bin Ibrahim, Pengarah JKR Negeri Terengganu beserta En. Mohd Shahril Bin Shamsudin, Timbalan Pengarah JKR Negeri Terengganu (Pentadbiran & Kewangan); Ir. Sulaiman bin Ismail , Jurutera Awam Penguasa Kanan (Cawangan Kerja Pendidikan); Pn. Nur Sharliza binti Mohd Rapi’ain, Ketua Penolong Pengarah Kanan, JPN Terengganu; pejabat HOPT, HODT serta JKR Daerah.

Selepas Ucapan Perasmian oleh Pengarah JKR Negeri Terengganu, majlis kemudian diteruskan dengan tayangan gimik Perasmian bagi Penyerahan SST Perdana, sesi tandatangan dan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) oleh Pegawai Penguasa kepada kontraktor yang berjaya.

Pembinaan 10 buah Dewan Serbagunan Terbuka Berbumbung (DSTB)  yang akan dilaksanakan ini adalah merupakan projek berimpak tinggi dan mempunyai kepentingan besar kepada pembangunan sektor pendidikan di Negeri Terengganu. Oleh itu, adalah menjadi harapan agar projek ini dapat dilaksanakan dengan komitmen dan kesungguhan tinggi oleh kontraktor yang berjaya.

Projek ini akan berfungsi bukan sahaja sebagai lokasi bagi acara-acara rasmi sekolah, malahan ianya juga merupakan pusat aktiviti komuniti yang boleh menyatukan penduduk setempat dengan pelbagai pengisian, program dan aktiviti. Dengan adanya fasiliti ini, ianya dapat memberi impak positif kepada pelajar  serta menyediakan ruang yang selesa dan kondusif untuk pelbagai aktiviti.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat terutama Pengurusan Tertinggi JKR Malaysia dan seluruh pasukan projek JKR Negeri Terengganu dan JKR Daerah yang telah memberikan sumbangan terbaik dalam merealisasikan projek ini.

Semoga projek-projek ini dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kebaikan masyarakat dan pembangunan pendidikan di negeri Terengganu.