Date: Selasa, Oktober 10, 2023

Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek IBU PEJABAT JBPM KUALA LUMPUR telah diadakan pada 6 Oktober 2023 (Jumaat) di Dewan Emerald, Tingkat 18, Cawangan Kerja Keselamatan, Maju Tower, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kuala Lumpur.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan iaitu YBrs. Ir. Maria Binti Marcus. Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Tuan Mahadir Bin Mohd Noh, Penguasa Bomba Kanan I, Bahagian Pembangunan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya dan YBrs. Ir. Nurul Huda binti Amirrudin, Jurutera Awam Penguasa, JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selaku wakil Agensi Pelanggan dan Pegawai Penguasa Projek yang dilantik. Turut hadir bersama ke majlis ini ialah YBrs. Ar. Ezzanuddin Lood Bin Mustafa, Arkitek Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek 5, CKS serta pasukan projek HOPT dan HODT.

Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan Surat Setuju Terima kepada Kontraktor BILANG NOMBOR SDN. BHD dan penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Penguasa kepada Ir. Nurul Huda binti Amirrudin selaku wakil Pegawai Penguasa Projek ini. Majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Aku Janji Kontraktor yang disaksikan oleh YBrs. Ir. Maria Binti Marcus.

Skop Projek adalah pembinaan Ibu Pejabat Bomba yang merangkumi Pejabat Pentadbiran, Pejabat Pelbagai Bahagian, Bilik Gerakan Operasi Negeri, surau dan lain-lain, Dewan Serbaguna dan juga Komponen Sokongan – Pondok Pengawal, rumah sampah, blok servis (TNB) dan lain-lain. Projek ini telah direkabentuk secara konvensional Dalaman oleh pihak JKR.

Tahniah diucapkan kepada kontraktor yang berjaya iaitu Bilang Nombor Sdn. Bhd dengan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 130 minggu. Tarikh milik tapak projek ini pada 13 Oktober 2023 dan jangka siap pembinaan pada 9 April 2026.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.

bomba KL

bomba KL

bomba KL

bomba KL

bomba KL