Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek NAIKTARAF BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT JALAN KUBU, MELAKA telah diadakan pada 17 Mei 2024 (Jumaat) di Bilik Mesyuarat Emerald 2, Tingkat 20 Cawangan Kerja Keselamatan, Maju Tower, Ibu Pejabat JKR Malaysia, Kuala Lumpur.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan iaitu YBrs. Ir. Maria Binti Marcus. Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Ir. Nurul Munadiah Binti Che Dahalan, Ketua Penolong Setiausaha Teknikal, Bahagian Pembangunan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan YBrs. Tuan Mahadir Bin Mohd Noh, Penguasa Bomba Kanan I, Bahagian Pembangunan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya selaku wakil Agensi Pelanggan. Turut hadir bersama ke majlis ini ialah YBrs. Ar. Mohd Hafizzudin Bin Md Zahir, Arkitek Penguasa Kanan, Bahagian Pengurusan Projek 5, CKS serta pasukan projek HOPT dan HODT.
Majlis dimulakan dengan sesi penyerahan Surat Setuju Terima kepada Kontraktor NAZIIF ENTERPRISE dan majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Aku Janji Kontraktor yang disaksikan oleh YBrs. Ir. Maria Binti Marcus.
Skop Projek adalah Naik Taraf Balai Bomba yang melibatkan kerja meroboh dalaman, kerja naik taraf dalaman, membina baharu komponen dalaman dan luaran dan kerja mengecat luaran. Projek ini telah direkabentuk secara konvensional dalaman oleh pihak JKR.
Tahniah diucapkan kepada kontraktor yang berjaya iaitu Naziif Enterprise dengan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 104 minggu. Tarikh milik tapak projek ini pada 27 Mei 2023 dan jangka siap pembinaan pada 24 Mei 2026.
JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.
- 1129 bacaan