Date: Isnin, April 10, 2023

Pada 6 April 2023 (Khamis) telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Sesi Menandatangani Dokumen Kontrak bagi pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid Dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik Bagi Sekolah-Sekolah Luar Bandar Negeri Sabah Tahun 2023 Hingga 2025 – Pakej 1 & Pakej 2. Majlis Penyerahan SST & Sesi Menandatangani Dokumen Kontrak tersebut telah diadakan di Bilik Zamrud, Aras 2, Menara Kerja Raya (Blok G), Ibu Pejabat JKR Malaysia Kuala Lumpur.

 

Majlis 3-in-1 (3 dalam 1) ini telah disempurnakan oleh YBrs. Sr. Amran bin Abdul Majid Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) dengan menyerahkan dokumen Surat Setuju Terima (SST), menandatangani Dokumen Kontrak serta penyerahan surat pelantikan Pegawai Penguasa Fasiliti. Pegawai Penguasa Fasiliti bagi pelaksanaan projek ini ialah YBrs. Ir. Noor Ashikin bt Md. Tamimi, Pengarah Perkhidmatan Pakar, Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Ibu Pejabat JKR Malaysia. Dua (2) Kontraktor yang berjaya adalah seperti berikut:

 

Pakej

Kontraktor

Pakej 1

Jong Sarat Sdn Bhd

Pakej 2

Syarikat Am-Me Sdn Bhd

 

(Maklumat Harga Kontrak & Tempoh Kontrak boleh diakses melalui website Sistem JET)

 

Turut hadir bersama adalah Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pengurusan Aset, Kementerian Pendidikan Malaysia, Encik Azlan bin Arifin yang mewakil agensi Pelanggan projek ini; YBrs. Ir. Saiful Zuhaimi bin Ahmad, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan, Unit Perunding Tenaga Lestari, CKE, selaku wakil Head of Project Team (HOPT) dan pejabat pentadbir kontrak.

Secara keseluruhannya, skop kontrak penyelenggaraan sistem solar hibrid ini akan melibatkan 109 buah sekolah. Pemasangan sistem solar hibrid adalah sebagai alternatif bekalan elektrik 24 jam yang cekap dan reliable disebabkan sekolah-sekolah tersebut terlalu jauh (pedalaman) dengan infrastruktur utiliti elektrik dan tiada liputan talian grid nasional.

Objektif utama projek adalah bagi memastikan bekalan elektrik sentiasa dalam keadaan baik, kondusif dan beroperasi tanpa sebarang gangguan (24 jam) kepada pengguna (pihak sekolah) bagi keselesaan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disempurnakan dengan berkualiti, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan dalam kontrak.