Date: Isnin, Ogos 22, 2022
    1. Majlis Perasmian Hospital Bera telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob  pada 20 Ogos 2022 yang turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Malaysia dan Yang Berhormat Datuk Seri Rina binti Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

      Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh ,Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Zainal Alhakab Seman,  Ketua Pengarah Kesihatan negeri pahang, Dato’ Dr. Nor Azimi binti Yunus, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan JKR Malaysia, Dato’ Ar. IDr. Azman bin Md. Hashim dan Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria. Majlis turut dihadiri pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Jabatan Kerja Raya Malaysia  dan juga  pihak berkuasa tempatan.

      Projek Hospital Bera telah bermula pada 15 Oktober 2010 dengan  pembinaan fasa pertama yang melibatkan kerja-kerja tanah dan telah siap pada 26 Jun 2011 oleh kontraktor TOFAN Group Sdn Bhd. Manakala fasa kedua dengan skop pembinaan bangunan pula telah bermula pada 10 Julai 2012. Projek ini telah berjaya disiapkan oleh Kontraktor Penyiap ketiga iaitu Marimas Sdn. Bhd. pada 31 Mac 2022 dan  telah diserahkan kepada pihak pelanggan pada 27 Mei 2022.

      Hospital dengan kapasiti 40 katil ini terdiri daripada 4 blok Utama dan 4 blok kuarters beserta blok-blok sokongan. Kemudahan-kemudahan  awam juga turut disediakan seperti taman permainan kanak-kanak, gelanggang sepak takraw dan bola tampar serta dewan serbaguna.

      JKR Malaysia senantiasa memberi penekanan dan perhatian yang khusus dalam memastikan produk akhir yang terbaik diserahkan kepada pelanggan dengan berusaha menambahbaik keberkesanan pengurusan projek agar dapat disiapkan secara 3 dalam 1. Projek ini berjaya disiapkan dan diserahkan secara 7 dalam 1 iaitu:

       

      I. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 31 Mac 2022.

      II. Penyiapan Penyata Akaun Muktamad (SOFA).

      III. Penyiapan As Built Drawing.

      IV. Operation & Maintainance (O&M) Manual.

      V. Penjimatan perbelanjaan projek.

      VI. Sifar Kemalangan Semasa Pembinaan

      VII. Perakuan Jabatan Bomba & Penyelamat Borang G8 & G9 bagi tujuan CCC.

       

      Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Pasukan Projek Negeri Pahang (PPNP) selaku Pegawai Penguasa dengan kerjasama dan sokongan padu Pasukan JKR Negeri Pahang, HOPT dan HODT, JKR Daerah Bera, pasukan perunding, pihak Kontraktor Marimas sdn. Bhd., pihak pelanggan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak pengurusan Hospital Bera serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.

       

       

       

       

      Foto semasa pembinaan