Date: Rabu, April 25, 2018

Majlis Perasmian Institut Kanser Negara yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah berlangsung dengan jayanya pada 24 April 2018 bertempat di Auditorium Institut Kanser Negara, Putrajaya.

Majlis telah diserikan dengan kehadiran dif-dif kenamaan berikut, YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, dan Yang Berhormat Datuk Seri Dr. S.Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh, YBhg. Dato' Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Ir. Kamaluddin bin Haji Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Yang Berusaha Dr. Asmayani binti Khalib, Pengarah Institut Kanser Negara, Cik Selmah binti Ahmad, Pengurus Besar Kanan Pembinaan dan Ir. Pauzi Bin Mohamad, Jurutera Awam Penguasa Kanan Bahagian Pengurusan Projek 2 mewakili Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, JKR Malaysia.

Pembinaan Institut Kanser Negara bermula pada 1 September 2010 dan siap pada 16 Ogos 2013, iaitu 15 hari awal daripada tarikh siap yang dijadualkan. Projek ini merupakan projek JKR yang pertama menggunakan perisian Building Information Modelling (BIM) untuk membangunkan model 3D bagi tujuan koordinasi projek yang lebih baik dalam aspek perkhidmatan arkitek, struktur dan mekanikal khususnya.

Pembangunan Projek Institut Kanser Negara telah mencapai kemuncak kegemilangannya apabila memenangi Anugerah Projek Terbaik untuk kategori projek bangunan bernilai lebih RM100 juta pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2015 yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan menjadi platform untuk mengiktiraf kecemerlangan pemain industri pembinaan.

Majlis bersurai pada jam 11.00 pagi.