Date: Selasa, Mei 30, 2023

Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad telah merasmikan Kursus Sijil Kompetensi Kontraktor Kesihatan (SKKK) pada 29 Mei 2023 di Dewan CREaTE, Alor Gajah, Melaka. Kursus yang dilaksanakan buat julung kalinya ini akan berlangsung selama lima hari, melibatkan seramai 35 Syarikat Kontraktor Gred G7 yang telah lulus penetapan prasyarat Kementerian Kewangan Malaysia.

 

Berkuatkuasa Januari 2024, Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan menjadi syarat wajib bagi semua kontraktor yang ingin menyertai tender projek fasiliti kesihatan di bawah seliaan JKR Malaysia. Kursus yang akan diberikan merangkumi modul pembelajaran meliputi keseluruhan aspek teknikal, pengurusan dan pentadbiran yang menjurus kepada pelaksanaan projek fasiliti kesihatan.

 

Turut hadir sama, YB Tuan Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, YBhg. Datuk Ahmad Nadzri bin Embong, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Dasar & Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ IR. Hj. Zulkipli bin Hj. Nasri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) Jabatan Kerja Raya, YBrs. Tuan Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Pengarah Kanan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan & Teknologi JKR (CREaTE), pegawai-pegawai kanan, peserta kursus serta pengamal media.

 

Timbalan Menteri Kerja Raya turut diperkenalkan kepada Pengurusan Tertinggi CREaTE JKR bagi berkongsi perkembangan semasa dan sekali gus dibawa melawat ke Laman Hijau serta Makmal Jalan bagi melihat produk-produk Inovasi.