Date: Ahad, September 17, 2017

Majlis perasmian Mesyuarat Jurutera Awam JKR Malaysia 2017 telah diadakan pada 17 September 2017 bertempat di Dewan Banquet, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Darul Takzim. Penganjuran mesyuarat kali ke-8 ini bertemakan “Managing Perception”, di mana sebagai kakitangan di Jabatan Kerja Raya yang merupakan Jabatan Teknikal utama kerajaan Malaysia secara amnya dan sebagai Jurutera Awam secara khususnya perlu membuka mata dan menyelami persepsi-persepsi di sekeliling bagi meningkatkan lagi pencapaian JKR secara keseluruhannya.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan disusuli dengan Ucapan Aluan oleh Ketua Disiplin Awam, YBrs. Ir. Hj. Zulakmal bin Hj. Sufian. Antara intipati ucapan Ketua Disiplin Awam ;

1)     Jurutera Profesional - Memberi penekanan berkaitan kelayakan Jurutera Profesional dengan mensasarkan 190 orang memperolehi kelayakan tersebut setiap tahun supaya mengekalkan sasaran 55% nisbah Jurutera Profesional.

2)     Program Pensijilan Jurutera Awam - Program Pensijilan Jurutera Awam JKR dimulakan pada tahun 2014 oleh Cawangan Kejuruteraan Awam, Struktur dan Jambatan dan hanya melibatkan kompetensi Structural Engineering (Building) dan Civil Works Engineering. Bagi tahun 2017, sebanyak 13 program pensijilan ditawarkan dan seramai 126 orang Jurutera Awam telah diiktiraf kompeten.

3)     Fast Track dan Subject Matter Expert (SME) - Pegawai dapat melalui kenaikan pangkat tanpa terikat kepada keperluan kekosongan jawatan seperti mana kaedah biasa.

4)     Polisi Perolehan Hijau Kerajaan atau Government Green Procurement (GGP) - Melaksanakan Polisi Perolehan Hijau Kerajaan atau Government Green Procurement (GGP) untuk memastikan 20% perolehan hijau pada tahun 2020 seperti digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

5)     Jurutera Awam perlu merangka strategi dan memperluaskan pembangunan dan penyenggaraan mampan bagi infrastruktur bangunan dan jalanraya seperti;

a)     Pelaksanaan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang menggalakkan kecekapan dalam metodologi pembinaan dan pengurangan kos seperti Industrialized Building Systems (IBS);

b)     Aplikasi pembinaan menggunakan teknologi Cold-in-Place Recycling (CIPR) dan Cuplump Modified Asphalt (CMA) secara menyeluruh bagi penyenggaraan dan pembinaan jalanraya; dan

c)     Penggunaan Green Product Scoring System (GPSS) untuk mengukur peratusan produk hijau yang digunakan dalam projek infrastruktur.

6)     Penggunaan teknologi dan data secara digital - Peranan teknologi terbukti dapat menyampaikan, menyelenggara dan mengendalikan infrastruktur serta perlu disokong dengan penggunaan perisian kejuruteraan awam yang terkini untuk memudahkan urusan rekabentuk, pengumpulan data, perancangan, penilaian dan peruntukan.

7)     Jurutera Awam kekal bersemangat meningkatkan kompetensi dan mengekalkan rentak kecemerlangan prestasi kerja dalam meneruskan kesinambungan perkhidmatan serta tadbir urus yang berkesan kepada stakeholders dan pelanggan jabatan.

8)     Menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Mantan Ketua Disiplin Awam yang terdahulu iaitu Yang Berbahagia Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Osman di atas kecemerlangan mengemudi profil Disiplin Awam sebelum ini.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan pembentangan Hasil Mesyuarat Jurutera Awam Tahun 2016 yang disampaikan oleh Yang Berusaha Ir. Muhammad Azman Bin Jamrus, Timbalan Ketua Disiplin Awam.

Majlis yang turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) diteruskan dengan Perasmian Pameran Kejuruteraan yang menyediakan lebih 30 booth berkaitan Teknikal dan Kejuruteraan terdiri daripada pempamer dari pembekal-pembekal bahan binaan, peralatan kejuruteraan elektrik dan mekanikal, dan juga pembekal cat. Selain itu, ianya turut disertai oleh pempamer awam serta industri kecil. Turut diadakan cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir. Semua kontraktor, perunding, jurutera, dan orang ramai di jemput hadir ke Perkarangan Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor.

Majlis ditangguhkan pada jam 5.00 petang dan akan bersambung esok, 18 September 2017 jam 8.30 pagi.

Sila klik di sini untuk laporan bergambar.