Date: Khamis, Julai 30, 2020

Laluan Central Spine Road Pakej 3: Gua Musang, Kelantan Ke Kg. Relong, Pahang Seksyen 3E1: Mentara Ke Merapoh telah dibuka secara rasmi untuk kegunaan awam mulai 26 Julai 2020 yang lalu. Majlis Perasmian Pembukaan telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang berserta YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya.

Projek pembinaan infrastruktur jalan dengan kos pembinaan RM93.6juta ini merangkumi skop utama membina jalan baru sepanjang 5.4km dari Mentara ke Merapoh, Pahang berasaskan 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5, satu (1) persimpangan bertingkat di Mentara, satu (1) susur keluar masuk di Merapoh, sebuah jambatan merentasi laluan persekutuan FT08, laluan keretapi & Sg. Anak Belia, dua (2) vehicular box culvert dan enam (6) pembentung kekotak.

Projek ini adalah sebahagian daripada jajaran Central Spine Road yang dilaksanakan secara berperingkat dengan panjang keseluruhan 347km. Central Spine Road merupakan projek infrastruktur berimpak tinggi khususnya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas menuju ke Pantai Timur ketika musim perayaan dan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya.

Bahagian Pengurusan Projek ECER Cawangan Jalan