Majlis Perasmian Pembukaan Central Spine Road, Seksyen 3E2: Merapoh ke Kg. Kubang Rusa, Lipis, Pahang telah disempurnakan dengan jayanya pada hari Rabu, 25 April 2018 jam 3.00 petang di tapak projek tersebut.
Majlis telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dengan diiringi oleh YB Dato’ Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang dan YBhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.
Turut menghadiri majlis ialah YBhg. Tan Sri Ahmad Zaki Ansore bin Mohd Yusof, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi bin Tan Sri Abdul Razak, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Alam Sekitar Dan Kemudahan Asas Negeri Pahang dan YB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Perbandaran Negeri Pahang.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pegawai - pegawai Kanan Kementerian dan Agensi Kerajaan, pemimpin – pemimpin setempat, wakil - wakil media massa dan penduduk sekitar.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh YB Menteri Besar Pahang dan acara kemuncak adalah ucapan perasmian oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
Dalam ucapan, YAB PM mengucapkan jutaan tahniah serta syabas kepada Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya yang telah bersama-sama menggembleng tenaga dalam memastikan projek dapat dilaksanakan dengan jayanya di samping berjaya disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
"Bila saya lalu jalan ini, saya rasa macam driving di Switzerland. Kerajaan sanggup bina jalan sebegini baik walau pun di tempat terpencil untuk kesinambungan prasarana negara. Kerajaan juga melaksanakan perancangan pembangunan secara berperingkat melalui rancangan 5 tahun sejak dari dahulu lagi."
"Semua ini tidak datang bergolek sebaliknya kerana pentadbiran negara khususnya pengurusan ekonomi yang berada atas landasan betul yang dapat menjamin kesinambungan pembangunan," katanya lagi.
Projek Central Spine Road (CSR) dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang sepanjang 350km ini merupakan salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di Negeri Pahang. Projek yang dibina selari dengan Jalan Persekutuan FT008 sedia ada telah memulakan pembinaan sejak tahun 2008. Jajaran yang telah siap dibina dan telah dibuka secara berperingkat mulai tahun 2013 hingga 2016 adalah sepanjang 41.35km dari Kg. Kubang Rusa ke Kg. Seberang Jelai, Lipis, Pahang.
Bagi jajaran Seksyen 3E2 iaitu dari Merapoh ke Kg. Kubang Rusa, Pahang sepanjang 14km melibatkan skop kerja iaitu membina jalan baru 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5, satu (1) persimpangan searas, dua (2) buah jambatan, enam (6) vehicular box culvert dan dua (2) smart vehicular box culvert akan menjadikan keseluruhan jajaran yang telah siap dibina adalah sepanjang 55.35km.
Dengan terbinanya Projek CSR di Negeri Pahang terutamanya di Daerah Lipis, akan mewujudkan laluan alternatif yang dapat meningkatkan tahap kemudahsampaian, keselesaan dan keselamatan pengguna jalanraya di samping meningkatkan Level of Service D iaitu gangguan aliran di waktu puncak di Jalan Persekutuan FT008 sedia ada kepada aliran yang lancar dan selesa Level of Service A di jajaran baru CSR. Selain itu, kadar kemalangan jalan raya juga dapat dikurangkan.
Tahniah diucapkan kepada Pasukan JKR terutamanya Cawangan Jalan, Konsortium Pembinaan Kaleigh Sdn. Bhd. dan Hanawin Sdn. Bhd., Perunding Ikhtisas Ingineurs Sdn. Bhd. dan semua pihak di atas sokongan, komitmen dan kerjasama padu yang telah diberikan dalam menyiapkan projek ini.
Majlis bersurai pada jam 4.30 petang.
- 2134 bacaan