Date: Selasa, Disember 31, 2019

Majlis Perasmian Penyerahan Projek Membekal Empat (4) Buah Kenderaan Pacuan Empat Roda (Double Cab) Baharu Beserta Kelengkapan Pengendalian Barang Kes Hidup untuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia telah berlangsung dengan jayanya pada 27 Disember 2019 (Jumaat) bertempat di Autoria Sdn. Bhd. Jalan Sultan Nazrin Shah, Ipoh, Perak.

Perasmian penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Ir. Hj. Mohamad Zulkefly bin Sulaiman Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Awam & Struktur yang juga menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar). Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Dr. Norlizan bin Mohd Noor, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Perkhidmatan Veterinar Malaysia bagi sesi penyerahan dokumen projek dan replika kunci kenderaan di antara Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV).

Majlis tersebut turut dihadiri oleh YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim, Pengarah Kanan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, YBrs. Ir. Hj. Zulkifli bin Abdul Rashad, Pengarah Khidmat Pakar, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Ibu Pejabat JKR Malaysia, pegawai - pegawai kanan CKM JKR Malaysia serta pegawai-pegawai dari JKR CKM Negeri Perak. Turut hadir memeriahkan majlis adalah pegawai-pegawai kanan dari JPV Malaysia serta pihak pembekal.

Projek ini telah dilaksanakan melalui tender sistem ePerolehan dan pembekal telah membuat penyerahan pada 3 Disember 2019 iaitu 38 hari lebih awal tanpa melibatkan sebarang perubahan kos. Matlamat utama projek ini adalah bagi membekal kenderaan yang sesuai dengan spesifikasi kebajikan haiwan iaitu mempunyai ruang khusus untuk penyimpanan haiwan semasa pengendalian kes haiwan hidup atau melibatkan kes forensik oleh pihak JPV Malaysia.

Pelaksanaan projek ini adalah dengan mengambil kira piawaian dan spesifikasi kebajikan haiwan dengan penyediaan ciri-ciri khusus yang dilengkapi pada kenderaan seperti berikut:

  1. Kenderaan pacuan empat roda dua kabin
  2. Pemasangan kanopi beserta Motorised Roof Ventilator
  3. Pengubahsuaian lantai bagi memudahkan kerja pencucian
  4. Pembinaan sangkar dan rak penyimpanan peralatan/ubatan di ruangan Deck
  5. Pemasangan Ramp bagi kemudahan turun dan naik haiwan dari kenderaan

Pada akhir Majlis Perasmian Penyerahan Projek ini, demonstrasi penggunaan peralatan telah dijalankan oleh pihak pembekal dan tetamu kehormat juga telah diberi peluang untuk menguji pandu kenderaan tersebut.

Setinggi-tinggi penghargaan dan syabas diucapkan kepada Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Ibu Pejabat JKR Malaysia, pihak pembekal dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.