Date: Rabu, November 28, 2018

Majlis Perasmian Penyerahan Projek Naiktaraf Jalan dari Kg. Berdang ke Kg. Sg. Rual (Fasa II), Jeli, Kelantan telah berlangsung dengan jayanya pada hari Sabtu, 24 November 2018 bertempat di tapak projek.

Penyerahan projek telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Rina Mohd Haron, Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Turut berlangsung sesi menandatangani Dokumen Penyerahan Projek dan serahan projek antara Unit JKR KESEDAR dan KESEDAR/KPLB seterusnya kepada wakil JKR Negeri Kelantan.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sazmi Miah, Pengerusi Lembaga Pengarah KESEDAR, YBrs Encik Iskandar Zurkarnain Bin Azmi, Pengurus Besar KESEDAR, YBrs Encik Shukri Bin Ishak, Pengarah Unit JKR KESEDAR, YBrs Encik Ahmad Amru Bin Yusoff, Jurutera Jajahan Jeli selaku wakil JKR Negeri Kelantan serta semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek ini.

Unit JKR KESEDAR telah dipertanggungjawab untuk melaksanakan projek ini secara Konvensional (Perunding). Kontraktor yang terlibat adalah Chengal Jati Sdn. Bhd. melibatkan kos sebanyak RM 82,252,858.18. Projek ini telah mendapat penghargaan/pengiktirafan dalam anugerah Malaysia Construction Industry Excellent Award 2018 (MCIEA) anjuran CIDB dengan menggondol Anugerah Projek Terbaik Infrastruktur.

Skop pembinaan projek ini melibatkan perkara-perkara seperti berikut :-

1.         Membina jalan standard JKR R3 Modified (Single Carriageway) sepanjang 5.6 km.
2.         Membina tiga (3) buah jambatan konkrit merentasi Sg. Rual, Sg. Manok dan Sg. Kalak.
3.         Melibatkan kerja letupan bukit-bukit yang melibatkan keseluruhan batu granit.
4.         Pembinaan sistem perparitan yang sempurna.
5.         Pemasangan semua perabot jalan serta lampu di persimpangan dan peranti kawalan trafik.
6.       Kerja-kerja aliran termasuk pembentung-pembentung, sump, longkang tepi jalan, pengaliran bawah tanah, longkang cerun dan struktur-struktur saliran lain.
7.     Peruntukan mitigasi perlindungan alam sekitar seperti pembinaan perangkap-perangkap kelodak, mendapan sementara lembangan dan lain-lain.

Dengan terbinanya infrastruktur ini telah menyediakan laluan perhubungan yg sempurna kepada perkampungan orang asli terutamanya di Kg. Sg. Rual selain merupakan laluan alternatif ke jalan utama Lebuhraya Timur Barat.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Unit JKR KESEDAR, MZAH Perunding Sdn.Bhd dan Chengal Jati Sdn. Bhd. kerana telah berjaya menyiapkan projek ini dengan hasil kerja yang berkualiti dan memuaskan. Semoga warga Jeli, Kelantan dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan infrastruktur yang disediakan oleh Kerajaan ini.