Date: Selasa, Januari 24, 2017
Majlis perasmian Program Kecemerlangan CREaTE JKR dengan tema 'CREaTE THE FUTURE' telah berlangsung pada 24 Januari 2017 bertempat di Dewan CREaTE, Alor Gajah, Melaka. Majlis telah dihadiri oleh tetamu kehormat YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya diiringi oleh YBhg. Dato' Ir. Hj. Mohd Jamal bin Sulaiman,  Pengarah Kanan, Cawangan Kerja Bangunan Am 1, yang menjalankan tugas TKPKR (Sektor Bangunan), Pengarah Kanan CREaTE, YBrs. Ir. Dr. Che Hassandi bin Abdullah dan Pegawai-Pegawai Kanan JKR serta para jemputan.
 
Majlis Dimulakan sekitar jam 9.15 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa.Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang telah disampaikan oleh Pengarah Kanan CREaTE dan seterusnya ucapan perasmian oleh YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya JKR Malaysia. Di dalam ucapan perasmian tersebut,  beliau menyatakan penubuhan CREaTE adalah bertepatan dengan aspirasi Jabatan Kerja Raya untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia dan pembangunan modal insan yang kreatif dan inovatif serta teknologi terkini selari dengan hasrat kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP).Beliau juga menyatakan CREaTE telah merangka Pelan Operasi Latihan setiap tahun yang merangkumi semua disiplin kejuruteraan dan bisnes teras yang berkaitan melalui analisa keperluan latihan (TNA) yang diperolehi daripada setiap pejabat JKR.
 
Melalui proses ini, keperluan latihan yang diperlukan dapat diselaraskan dengan kompetensi  dan kepakaran teknikal yang ingin dibangunkan oleh jabatan. Sehingga ke hari ini, terdapat 9 projek penyelidikan sedang dilaksanakan, manakala 13 projek penyelidikan pula telah diluluskan dan di peringkat penyediaan MoU dalam usaha membudayakan inovasi di jabatan. Beliau menutup ucapan perasmian dengan harapan program yang dianjurkan oleh CREaTE pada hari ini dapat mempromosikan CREaTE kepada  rakan kongsi strategik di dalam bidang kompetensi, penyelidikan serta inovasi, seterusnya memberikan impak dan semangat yang positif kepada warga JKR untuk sentiasa meningkatkan keupayaan diri dan membudayakan inovasi dalam melaksanakan tugas.
 
Majlis diteruskan dengan upacara gimik perasmian serta tayangan montaj dan disusuli dengan penyampaian sijil penghargaan bagi meraikan rakan kolaborasi penyelidikan dan inovasi CREaTE. Seterusnya YBhg. Dato' Sri KPKR membuat lawatan ke ruang pameran di dewan dan terus hadir ke sesi sidang media. Majlis diakhiri dengan upacara melepaskan belon sebagai penutup majlis perasmian pada hari ini.