Date: Isnin, September 11, 2023

Pada tanggal 6 September 2023 (Rabu) telah berlangsungnya Majlis Perasmian Projek Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Bangunan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah.  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan menyempurnakan perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah di Kota Kinabalu sempena lawatan Seri Paduka Baginda ke Sabah dalam program jelajah ‘Kembara Kenali Borneo’ bermula 3 September yang lalu.

Turuh hadir ke majlis ini adalah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia,          YAA Dato’ Haji Mohd. Amran Haji Mat Zain dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Ir. Haji Badioezaman bin Ab. Khalik mewakili Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia.

Majlis perasmian ini juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Cawangan Kejuruteraan Elektrik, Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) dan JKR Sabah.

JKR Malaysia berasa amat berbangga kerana telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini yang bertujuan untuk memberi keselesaan kepada kakitangan dalam menjalankan tanggungjawab menyelesaikan dan mengadili isu-isu di dalam bidang mahkamah.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman oleh Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) selaku Head of Project Team (HOPT) dan Cawangan Arkitek (CA), Cawangan Kontrak & Ukur Bahan (CKUB), Cawangan Kejuruteraan Awam & Struktur (CKAS), Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM), Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Cawangan Kejuruteraan Geoteknik (CKG) sebagai Head of Design Team (HODT) serta diselia oleh JKR Sabah selaku Pegawai Penguasa.

Projek secara tender terhad ini telah dilaksanakan oleh kontraktor Fleet Ventures Sdn. Bhd. dan telah berjaya disiapkan pada masa yang telah ditetapkan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada JKR Sabah, Pasukan Rekabentuk JKR, Kontraktor dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kerana telah berjaya menyiapkan projek ini mengikut masa, kos dan kualiti yang telah ditetapkan.