Date: Isnin, Julai 20, 2020

Majlis serahan projek siap bagi KLINIK KESIHATAN (JENIS 3) KUALA KANGSAR, PERAK telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Kesihatan Malaysia pada 18 Julai 2020 (Sabtu) bertempat di tapak projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar pada jam 10.00 pagi.

Seterusnya penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Haji Zulakmal bin Haji Sufian, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YBhg. Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia selaku wakil Pelanggan.

Turut menyerikan majlis ini adalah YB. Datin Mastura binti Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, YB. Datuk Dr. Noor Azmi bin Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan 1, YB. Dato’ Haji Mohd Zulkafly bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, YB. Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Tenaga Hijau Negeri Perak, YBrs. Ir. Razdwan bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan, YBhg. Dato’ Ramlan bin Harun, Setiausaha Bahagian Kanan Kementerian Kesihatan Malaysia, YBrs. Ar. Dr. Azman bin Md. Hashim, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya selaku pengurus program, YBrs. Tuan Haji Roslan bin Abd Ghani, Pengarah Jabatan Kerja Raya Perak selaku Pegawai Penguasa, YBhg. Dato’ Dr. Ding Lai Ming, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Pengarah Urusan Pembinaan Marwan Sdn. Bhd. selaku kontraktor projek serta Pegawai-Pegawai Kanan daripada JKR, KKM dan Agensi lain yang terlibat.

Pelaksanaan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kuala Kangsar, Perak merupakan salah satu projek menggunapakai Pelan Piawai atau Pre-Approved Plans (PAP) yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk membantu meningkatkan kualiti kesihatan rakyat. Bangunan Klinik Kesihatan ini juga mampu beroperasi dengan baik dan seterusnya memberi perkhidmatan yang berkesan. Projek ini telah dimulakan pembinaannya pada 14 November 2016 dengan kos asal sebanyak RM 21 Juta. Pembinaan projek ini juga telah diperaku penyiapannya pada 9 Julai 2020 dengan kos sebanyak RM 18.4 Juta iaitu terdapat penjimatan sebanyak RM 2.6 Juta.

Skop utama projek ini terdiri daripada sebuah blok Bangunan Klinik Kesihatan yang merangkumi Bahagian Pentadbiran, Klinik Pesakit Luar, Klinik Ibu dan Anak, Bahagian Kecemasan, Farmasi, Makmal dan juga Klinik Pergigian. Blok ini juga dilengkapi dengan Sistem x-ray, lif, fasiliti pergigian dan fasiliti untuk bermesyuarat. Selain itu, terdapat juga blok kuarters yang mempunyai empat (4) unit iaitu dua (2) unit kuarters kelas F dan dua (2) unit kuarters kelas G. Terdapat juga blok-blok sokongan seperti pondok pengawal, garaj ambulan, rumah sampah dan setor. Semua blok bangunan turut dilengkapi dengan kerja-kerja perabot siap pasang, papan tanda dan landskap luaran.

Projek ini dikategorikan sebagai kriteria siap TIGA (3) DALAM SATU (1) iaitu;

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion, CPC)
  2. Lukisan Siap Bina (As-Built Drawings)
  3. Penyata Akaun Muktamad (Statement of Final Account, SOFA)

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, Pejabat JKR Daerah Kuala Kangsar, pihak kontraktor projek dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.