Date: Jumaat, Disember 25, 2020

Majlis serahan projek siap bagi KLINIK KESIHATAN (JENIS 7) CHUPING, PERLIS telah disempurnakan oleh Tn. Syed Zubir Bin Syed Husin, Pengarah JKR Perlis kepada Dr. Mohd. Khalid Bin Abdul Samad, Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia selaku wakil pelanggan pada 23 Disember 2020 bertempat di tapak projek Klinik Kesihatan (Jenis 7) Chuping, Perlis pada jam 10.00 pagi.

Turut menyerikan majlis ini adalah Dr. Mohd Salleh Bin Mat Jusoh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Puan Maznah Binti Musa Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perlis Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Puan Norasna Binti Omar Arkitek Kanan Cawangan Kerja Kesihatan, Pengarah Urusan Rampai Riang Sdn. Bhd selaku kontraktor projek serta Pegawai-Pegawai Kanan daripada JKR, KKM dan Agensi lain yang terlibat.

Pelaksanaan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 7) Chuping, Perlis merupakan salah satu projek menggunapakai Pelan Piawai atau Pre-Approved Plans (PAP) yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk membantu meningkatkan kualiti kesihatan rakyat. Bangunan Klinik Kesihatan ini juga mampu beroperasi dengan baik dan seterusnya memberi perkhidmatan yang berkesan. Projek ini telah dimulakan pembinaannya pada 19 Mac 2018 dengan kos asal sebanyak RM 3.87 juta. Pembinaan projek ini juga telah diperaku penyiapannya pada 15 Disember 2020 dengan kos sebanyak RM 3.86 juta.

Skop utama projek ini terdiri dari sebuah Bangunan Klinik Kesihatan yang merangkumi Unit Pesakit Luar, Klinik Ibu Dan Anak, Unit Kecemasan dan Farmasi. Selain itu, klinik ini turut dilengkapi dengan empat (4) unit kuarters kakitangan. Projek ini dikategorikan sebagai kriteria siap EMPAT (4) DALAM SATU (1) iaitu;

1.         Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate of Practical Completion, CPC)

2.         Lukisan Siap Bina (As-Built Drawings)

3.         Penyata Akaun Muktamad (Statement of Final Account, SOFA)

4.         Serahan Dokumen

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Cawangan Kerja Kesihatan, Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis, Pasukan Projek Persekutuan Negeri JKR Perlis, pihak kontraktor projek dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya.