Date: Khamis, Februari 2, 2017
Mesyuarat dan Pembentangan Pelan Tindakan Pelaksanaan Projek Pre- Approved Plan (PAP) bagi RMK 11 telah berlangsung dengan jayanya pada 25 Januari 2017 bertempat di Dewan CREaTE, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), Alor Gajah, Melaka. Program selama sehari ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Ir. Hj. Mohd Fazli bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) dan dihadiri seramai 340 orang peserta, terdiri daripada pengurusan tertinggi dan pegawai JKR daripada Ibu Pejabat, JKR Negeri, Jurutera Daerah dan Kader serta wakil-wakil  daripada pelbagai Kementerian dan Agensi. 
 
Dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Dato’ Ir. Hj. Mohd Fazli menyatakan penggunaan PAP adalah bertujuan untuk memendekkan masa perancangan projek (lantikan perunding dan rekabentuk), mengutamakan fungsi bangunan dan mengelak rekabentuk bangunan yang mewah dengan kos yang tinggi. Seterusnya beliau memaklumkan, sebanyak 100 reka bentuk PAP telah disediakan oleh JKR bagi 17 kategori bangunan dan JKR juga sedang mempergiatkan usaha untuk memperbanyakkan rekanbentuk PAP dari semasa ke semasa.
 
Sejurus ucapan perasmian, satu taklimat  bertajuk “Carta Alir PAP Peringkat Perancangan” telah disampaikan oleh Ir. Roslan bin Abdul Ghani (Cawangan Perancangan Aset Bersepadu). Ini diikuti dengan taklimat yang bertajuk  “Pelaksanaan Projek PAP“ oleh Ar. Yong Razidah binti Rashid (Cawangan Arkitek). Program diteruskan dengan sesi Soal Jawab bersama Panel PAP yang dikendalikan oleh YBrs. En. Mohd Rahim bin Hj. Kawangit, Pengarah Cawangan Perancangan Aset Bersepadu. Di antara panel yang terlibat dengan sesi ini termasuk:
 
YBhg. Dato’ Ir. Hj. Mohd Jamal bin Sulaiman, Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1
Ir. Shuib bin Tabri, Pengarah, Cawangan Kejuruteraan Elektrik
Ir. Razdwan bin Kasim, Pengarah Khidmat Pakar, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal
YBhg. Datin Ar. Mariani Noor binti Suhud, Pengarah Rekabentuk, Cawangan Arkitek
Sr. Hajah Rozita binti Yahya, Pengarah Khidmat Pakar, Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan
Ir. Muhammad Azman bin Jamrus, Pengarah Khidmat  Pakar dan Pengurusan, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur
 
Di sebelah petangnya, program diteruskan dengan taklimat “Perancangan Penggunaan Lukisan PAP E-COMS” yang disampaikan oleh En. Abdul Gaffar bin Abu (Cawangan Arkitek) dan Cik Shabiha binti Zainal (Bahagian Teknologi Maklumat, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat). Pada masa yang sama, sesi PAP Café turut diadakan di bilik-bilik kuliah di CREaTE untuk mendapatkan input rekabentuk PAP daripada pihak Kementerian dan Agensi yang berkaitan serta sesi perkongsian maklumat. 
 
Program diakhiri dengan pembentangan rumusan PAP Café yang disampaikan oleh Ir. Roslan bin Abdul Ghani dan disusuli dengan ucapan penutup oleh YBhg. Dato’ Ir. Hj. Mohd Daud b. Harun, Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu. Program libaturus ini telah berjaya memberi kefahaman yang mendalam kepada para peserta mengenai PAP dan seterusnya meningkatkan komitmen pegawai-pegawai JKR dan Kementerian/Agensi yang terlibat berkenaan penggunaan PAP dalam memastikan kejayaan pelaksanaan projek-projek kerajaan.
 
Ucapan perasmian program yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Ir. Hj. Mohd Fazli bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar)
 
Taklimat bertajuk “Carta Alir PAP Peringkat Perancangan” disampaikan oleh Ir. Roslan bin Abdul Ghani dari Cawangan Perancangan Aset Bersepadu
 
Para hadirin sedang mendengar taklimat yang disampaikan oleh pembentang kertas kerja
 
Sesi Soal bersama Panel PAP yang dikendalikan oleh YBrs. En. Mohd Rahim bin Hj. Kawangit, Pengarah Cawangan Perancangan Aset Bersepadu bersama-sama panel jemputan
 
Sesi PAP Café bersama wakil-wakil daripada Kementerian dan Agensi