Date: Jumaat, Ogos 10, 2018

Mesyuarat Jurutera Awam bagi tahun 2018 yang bertemakan “Memperkasakan Jurutera Awam Ke Arah IR 4.0” telah berlangsung dengan jayanya pada 5 - 7 Ogos 2018 bertempat di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Perak.

Program yang berlangsung selama tiga (3) hari ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia dan turut dihadiri oleh pegawai - pegawai kanan JKR Ibu Pejabat dan Negeri.

Penganjuran kali ke sembilan (9) ini merupakan penganjuran bersama oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, CSFJ dan JKR Negeri Perak. Program ini yang telah dihadiri oleh seramai 170 orang peserta terdiri daripada warga Jurutera Awam, Jabatan Kerja Raya meliputi Ibu Pejabat, Negeri, Wilayah dan Daerah.

Majlis perasmian dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh Ketua Disiplin Awam, YBrs. Ir. Hj. Zulakmal Bin Hj. Sufian dan seterusnya Ucapan Perasmian Mesyuarat Jurutera Awam tahun 2018 oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha.







Majlis diteruskan dengan pelancaran buku bertajuk “Jenis-jenis Kecacatan Pada Jambatan” yang diterbitkan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan.

Tujuan penerbitan buku ini adalah untuk memberikan gambaran dan kefahaman yang lebih jelas berkaitan dengan jenis-jenis kecacatan jambatan mengikut kedudukan komponen supaya dapat mempermudahkan proses Pemeriksaan Mandatori Tahunan Jambatan (PMTJ) dan juga bagi memastikan segala operasi penyenggaraan jambatan dapat dilaksanakan dengan lebih persis dan konsisten.



Majlis seterusnya disusuli dengan Perasmian Pameran Kejuruteraan yang disertai oleh 23 buah syarikat dan tiga (3) daripadanya adalah pameran dari Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, Urusetia Disiplin Awam, JKR dan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam, JKR (AKRAB). Penyampaian sijil penghargaan kepada setiap pempamer dan Hadiah Booth Terbaik juga turut diadakan. Pemenang tempat pertama Booth Terbaik adalah THB Maintenance Sdn. Bhd., tempat kedua adalah Belati Wangsa Sdn. Bhd. dan tempat ketiga adalah E.J. Motiwalla.





Pengisian MJA kali ke-9 ini diperbaharui dengan perlaksanaan program-program  seperti Corporate Social Responsibility (CSR), program Career Talk, Industrial Talk & Professional Talk serta Sesi Townhall bersama DS KPKR.

Program Corporate Social Responsibility (CSR) merupakan program kebajikan yang julung kali diadakan dalam Mesyuarat Jurutera Awam dengan kerjasama syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan dan Negeri.   

Objektif utama mengadakan program CSR dalam MJA adalah untuk memberi ruang kepada Jurutera Awam JKR Malaysia bagi menjalankan tanggungjawab dan khidmat bakti kepada masyarakat selain daripada tugasan hakiki.  Selaras dengan tema MJA 2018 iaitu Memperkasakan Jurutera Awam Ke Arah IR 4.0.

Seramai 130 orang Jurutera Awam Muda dan 40 orang Jurutera Awam Kanan telah menghadiri Program CSR ini, merangkumi 5 lokasi yang berbeza latarbelakang dan lokasinya adalah seperti berikut :

1. Rumah Seri Kenangan, Ulu Kinta



2. Masjid At-Taiyibin, Chemor



3. Asrama Anak-anak Yatim / Miskin An-Nur Maisarah, Chemor



4. Maahad Tahfiz Al Quran dan Hadis Al Ansori Ulu Chemor



5. Rumah Anak Yatim Nurul Huda



Program Career Talk  juga merupakan kelainan yang diketengahkan pada MJA kali ini.  Taklimat disampaikan oleh Mejar Ir. Suhaizad Bin Hj. Sulaiman diadakan di Dewan Seri Perdana, Kolej Sains Kesihatan Bersepadu, Ulu Kinta kepada 316 orang pelajar daripada sekolah-sekolah menengah, kolej-kolej vokasional, pelajar politeknik dan pelajar dari universiti di Negeri Perak.



Disusuli dengan program Professional Talk bertajuk "Achieving Success in Construction Project through Industry Revolution 4.0" disampaikan oleh Ir. Dr. Hj. Zarabizan Bin Hj. Zakaria dan “Break The Pattern" oleh Professor Dr. Ahmad Rahman Songip kepada semua para peserta MJA Tahun 2018.




 

Program Industrial Talk bertajuk “Project MRT 2" yang disampaikan oleh Ir. Roslina Binti Abdul Rahman dan Ir. Ihsan @ Hasni Bin Atan turut diadakan di dewan yang sama.

Sesi Townhall bersama DSKPKR diadakan pada hari terakhir mesyuarat ini berlangsung diiringi oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Pakar, Ketua Disiplin Awam, Pengarah Cawangan Dasar & Pengurusan Korporat dan Pengarah JKR Negeri Perak bagi mengupas aspirasi dalam memperkasakan Jurutera Awam JKR Malaysia ke arah IR 4.0. 

Di akhir sesi tersebut, DSKPKR dengan rasminya mengumumkan penganjuran MJA bagi Tahun 2019 akan dikendalikan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun bersama JKR Negeri Selangor lantas menutup tirai Mesyuarat Jurutera Awam Tahun 2018 ini.