Date: Selasa, Oktober 1, 2024

Mesyuarat Jurutera Awam (MJA) 2024 bertemakan “Kelestarian Kejuruteraan Awam JKR” telah berlangsung dengan jayanya pada 10 - 12 September 2024 bertempat di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), Langkawi, Kedah Darul Aman dan telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya. Ini merupakan penganjuran MJA kali ke sebelas (11) setelah kali terakhir diadakan pada tahun 2019.

MJA JKR Malaysia merupakan program tahunan yang menghimpunkan Jurutera Awam JKR seluruh negara meliputi Ibu Pejabat JKR Malaysia, JKR Negeri, JKR Wilayah, JKR Daerah dan Kader Kementerian. Mesyuarat ini menjadi platform buat semua Jurutera Awam untuk berkongsi ilmu pengetahuan, pengalaman, kepakaran serta menjadi medan perbincangan bagi isu dan perkara berkaitan pembangunan Disiplin Awam di JKR Malaysia selain mewujudkan hubungan kerjasama dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme demi mencapai kecemerlangan penyampaian jabatan.

Program yang berlangsung selama tiga (3) hari ini dianjurkan bersama oleh Cawangan Kerja Kesihatan (CKK) sebagai Jawatankuasa Induk dan Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah sebagai Tuan Rumah. Mesyuarat Jurutera Awam 2024 ini telah dihadiri oleh 250 orang peserta terdiri daripada warga Jurutera Awam JKR Malaysia meliputi Ibu Pejabat, JKR Negeri, JKR Wilayah, JKR Daerah dan Kader Kementerian. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah JKR Kedah, YBrs. Ir. Mohd Fisal Bin Ismail dan seterusnya upacara perasmian Mesyuarat Jurutera Awam 2024 oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail. Majlis Perasmian ini dimeriahkan lagi dengan lawatan rasmi YBhg. Datuk Wira KPKR ke reruai pameran di dewan tersebut.

Sebanyak empat (4) kertas kerja telah dibentangkan iaitu :

  1. “Pencapaian Dasar Penempatan Disiplin Awam” yang disampaikan wakil Ketua Disiplin Awam, Ir. Hamzah bin Hashim;
  2. “Analisis Beban Tugas Pegawai Dalam Pengurusan Projek” oleh Ir. Atikah Binti Zakaria @ Ya, Pengarah Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, CPAB;
  3. “Cabaran Rekabentuk Disiplin Awam” oleh Ir. Md Khairi Bin Yaacob, Pengarah Khidmat Pakar & Pengurusan, CKAS; dan
  4. “Cabaran Penyelidikan Disiplin Awam” Ir. Dr. Sherliza Binti Zaini Sooria, Pengarah Bahagian Inovasi, CREaTE .

Antara intipati yang dibentangkan adalah berkaitan isu sumber manusia yang tidak mencukupi, merangkumi pelbagai peringkat di JKR Malaysia yang sentiasa menjadi cabaran utama dalam pengurusan projek.

Bengkel “Hala Tuju Pembangunan Disiplin Awam” juga turut dilaksanakan semasa MJA pada kali ini. Kesemua peserta telah dibahagikan kepada empat (4) kumpulan berdasarkan “Analisa Kaji Selidik Disiplin Awam” yang telah dibentangkan oleh Urusetia Disiplin Awam, Ir. Hamzah bin Hashim. Pembentangan kumpulan telah dirumuskan oleh YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra).

Selain itu, turut diadakan program lawatan teknikal berkonsepkan Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility, CSR) di Oriental Village Langkawi dan Langkawi Skybridge Cable Car, Langkawi, Kedah Darul Aman.

Mesyuarat Jurutera Awam 2024 kali ini ditangguhkan pada 12 September 2024 jam 12.30 tengahari. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya.

Tahniah diucapkan kepada semua warga JKR Malaysia yang terlibat dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Induk Cawangan Kerja Kesihatan dan Tuan Rumah JKR Negeri Kedah di atas penganjuran MJA 2024. Semoga semua warga kerja JKR Malaysia sentiasa komited dalam menjana dan berkongsi pemikiran kreatif dan inovatif ke arah memperkasa kualiti penyampaian perkhidmatan JKR secara berterusan.