Date: Rabu, March 16, 2022

Mesyuarat Libat Urus Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Bersama Pelanggan bagi Tahun 2022 telah diadakan pada 15-16 Mac 2022 bertempat di  Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE), Alor Gajah, Melaka. Mesyuarat telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR),  YBhg. Datuk Ir. Hj. Mohamad Zulkefly bin Sulaiman dan turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBrs. Sr Amran bin Haji Mohd Majid merangkap jua Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) serta Pengarah2 Kanan dan Pengarah2 JKR Sektor Pakar.

Agensi Pelanggan yang terlibat dan meluangkan masa untuk hadir terdiri daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kerja Raya(KKR), Kementerian Luar Negara(KLN), Kementerian Perpaduan Negara(KPN), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat(KPWKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia(KKMM), dan Kementerian Kewangan Malaysia(MOF).

Inisiatif penganjuran mesyuarat ini adalah sebagai salah satu platform untuk membincangkan isu-isu berbangkit dalam perlaksanaan projek dan berusaha untuk mencari penyelesaian bersama dengan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek di CKBA1, JKR Malaysia agar ianya dapat diselesaikan dengan segera. Program libaturus ini juga merupakan satu inisiatif JKR selaku agensi pelaksana untuk mendapatkan input dan maklum balas terhadap pelaksanaan projek-projek pembangunan fizikal di bawah Rancangan Malaysia (RMK) daripada agensi pelanggan. Di samping itu juga, mesyuarat ini juga bertindak sebagai satu forum perkongsian ilmu, pertukaran idea dan maklumat di antara satu sama lain berkaitan dengan pelaksanaan projek agar penyampaian projek akan lebih cekap.

Mesyuarat terbahagi kepada 2 sesi perbincangan dimana sesi pertama adalah perbincangan penetapan hala tuju pelaksanaan projek-projek RMK sambungan dan RMK 12 RP 1 yang akan diadakan pada hari pertama dan sesi kedua sesi Way Forward projek-projek RMK 12 RP 2 diadakan pada hari kedua, dengan focus untuk membincangkan strategi pelaksanaan projek-projek CKBA1, yang meliputi kaedah pelaksanaan, kaedah rekabentuk, perancangan iklan dan perancangan SST. 

Tidak hanya menumpukan kepada sesi perbincangan, agenda mesyuarat turut dipenuhi dengan sesi perkongsian ilmu yang merentasi perbagai aspek dalam pengurusan projek dari peringkat perancangan sehingga pembinaan, melalui pembentangan kertas kerja yang akan dibentangkan oleh mereka yang telah dikenalpasti pakar dalam bidang tersebut. Semua topik-topik yang di pilih merupakan inisiatif JKR dalam melaksanakan projek. Semua ini adalah merupakan usaha JKR untuk memantapkan lagi penyampaian projek. Antara topik yang dibentang dan dibincangkan bersama adalah berkaitan dengan penggunaan PAP dan BIM, Inisiatif Value At Entry (VAE), isu-isu kerajaan tempatan dalam perlaksanaan projek dan pelaksanaan penarafan hijau dalam bangunan-bangunan kerajaan.

Adalah diharapkan semoga melalui perkongsian maklumat ini, semua pemegang taruh akan lebih memahami proses-proses dan keperluan teknikal yang perlu diambil dalam melaksanakan sesuatu projek itu untuk memenuhi dan menambah baik penyampaian hasil output yang diharapkan.

Disediakan oleh,


Cawangan Kerja Bangunan Am 1

Jabatan Kerja Raya Malaysia