Date: Rabu, Oktober 25, 2017

Pada 16-17 Oktober 2017, Bahagian Integriti (BaI), Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) selaku urus setia telah mengadakan Mesyuarat Pegawai Integriti JKR Malaysia (MPI) Bilangan 2 bagi Tahun 2017 di Bilik Berlian, Menara Kerja Raya. Mesyuarat yang berlangsung dua kali setahun ini telah dipengerusikan oleh Ir. Dr. Hannerita Binti Mohamad Zainal selaku Ketua Bahagian Integriti, CDPK. Ahli mesyuarat adalah terdiri daripada Pegawai Integriti dan Penolong Pegawai Integriti dari 20 Cawangan dan 15 JKR Negeri.

Pelantikan Pegawai Integriti (PI) dan Penolong Pegawai Integriti (PPI) yang baru dilantik juga telah diadakan melalui penyerahan sijil dan surat lantikan yang disampaikan oleh Ir. Dr. Hannerita kepada 22 PI dan PPI tersebut.

Antara agenda utama mesyuarat adalah pembentangan dari Cawangan dan JKR Negeri meliputi Pelan Pemulihan Teguran Berulang Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Pelan Tindakan Pengukuhan Integriti (PTPI) Tahun 2017. Bahagian Integriti (BaI), CDPK telah membentangkan Analisa Kes Aduan berdasarkan Polisi Whistle Blowing, Analisa kes Tatatertib warga JKR dan Analisa isu di dalam Mesyuarat  Jawatankuasa Integriti & Tadbir Urus (JITU).

Pegawai daripada pihak SIRIM iaitu Pn. Fauziah Binti Seman selaku Ketua Juruaudit Jabatan Pensijilan Sistem Pengurusan turut dijemput untuk memberikan taklimat dan pendedahan kepada semua PI dan PPI berkenaan ‘ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System’ dalam sesi perkongsian ilmu.

Pada hari kedua mesyuarat, penceramah khas daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Encik Mahamad Sukri Bin Abu Seman telah dijemput untuk memberikan ceramah mengenai Tatacara Penyiasatan Berkesan kepada semua PI dan PPI memandangkan ahli mesyuarat merupakan Pegawai Penyiasat terhadap kes-kes aduan di Cawangan dan Negeri masing-masing.

Pihak urus setia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua PI dan PPI yang terlibat dan kakitangan BaI atas segala kerjasama, perhatian dan komitmen yang telah diberikan dalam menjayakan Mesyuarat Pegawai Integriti JKR Malaysia (MPI) kali ini. Semoga mesyuarat yang telah diadakan ini dapat memberi manfaat dan pendedahan kepada PI dan PPI serta ilmu yang diperolehi ini digunakan dapat meningkatkan Integriti warga JKR.

Sila klik di sini untuk memuat turun slaid pembentangan ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System.