Mesyuarat Penyelarasan Ahli Jawatankuasa Antara Agensi Kerajaan Bagi Pengurusan Cerun/ Inter-Governmental Agency Committee For Slope Management (ICSM) kali ke -18 dan Majlis Pelancaran Garis Panduan Pemetaan Bahaya Dan Risiko Cerun (Area-Based) & (Linear-Based) telah diadakan di Cameron Highlands, Pahang pada 9 hingga 11 Oktober 2024. Majlis yang dianjurkan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) ini telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya. Turut hadir majlis ini adalah Pengurusan Tertinggi daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Mineral dan Geosains, Pengarah JKR Perak, Pengarah JKR Pahang serta pegawai-pegawai kanan yang mewakili agensi ICSM.
MESYUARAT ICSM KE-18
Pada 9 dan 10 Oktober (Rabu – Khamis), Mesyuarat ICSM telah berlangsung dengan dipengerusikan oleh YBrs. Ir. Mohd Shaifuddin Bin Abdul Razak, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC). Mesyuarat ini membincangkan halatuju dan pelan tindakan Pelan Induk Cerun Negara (PICN) bagi tahun 2025-2030 seiring dengan matlamat dan objektif PICN yang telah ditetapkan. Keanggotaan ahli ICSM ini merentas kementerian, agensi kerajaan dan swasta, pihak berkuasa tempatan, pihak pengurusan bencana negeri, wakil daripada pihak akademik dan lain-lain yang berkaitan. Mesyuarat ini dihadiri oleh 61 orang ahli mesyuarat yang mewakili 32 agensi.
Penambahbaikan dan pelaksanaan ke atas Pelan Tindakan PICN sehingga 2030 ini, adalah seiring dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 29 Mac 2024, dan UNDRR Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030.
PICN ini akan menyokong Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai peneraju dalam memperkasakan inisiatif pengurangan risiko bencana di Malaysia di semua peringkat.
Mesyuarat pada kali ini, selain pembentangan oleh Ketua Kumpulan Kerja, ahli mesyuarat turut mendengar perkongsian ilmu daripada pegawai CKC berkaitan mitigasi berstruktur dan tidak berstruktur dalam pengurusan cerun-cerun di laluan persekutuan iaitu:
- Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) - Ir. Ts. Hjh. Fazilah Binti Hatta @ Antah
- Sistem Integrated Slope Management System (ISMAS) – Ir. Eow Thein Ewe dan Ir. Elya Shuhaira Binti Shafie
- Penyenggaraan Cerun Jalan – Dr. Mohamad Niizar Bin Abdurahman.
Serta perkongsian ilmu oleh Pn. Suraya Binti Badaruddin, Pegawai Perancang Bandar dan Desa daripada PLAN Malaysia bertajuk “Kajian CEKAL di Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Lojing dan Kinta”.
MAJLIS PELANCARAN GARIS PANDUAN PBRC
Pada 11 Oktober 2024 (Jumaat) telah berlangsungnya Majlis Pelancaran Garis Panduan Pemetaan Bahaya Dan Risiko Cerun (Area-Based) & (Linear-Based) bersempena dengan Mesyuarat ICSM Ke-18.
Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) merupakan salah satu kerangka teras strategik yang digariskan dalam Pelan Induk Cerun Negara (PICN), 2009-2023. Salah satu pelan tindakan yang ditetapkan di bawah teras strategik adalah penyediaan Garis Panduan Pemetaan dan Penilaian Bahaya Cerun. Garis panduan ini telah disiapkan bagi pemetaan secara Area Based yang dihasilkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan pemetaan secara Linear Based yang dihasilkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Objektif utama Garis Panduan PBRC (Area-Based) adalah bertujuan untuk menyeragamkan kaedah dan amalan terbaik pemetaan bahaya dan risiko cerun secara area based di seluruh negara. Ini penting bagi memastikan kualiti sistem penyampaian dan kefungsiannya dapat dipertingkatkan dalam pengurusan cerun.
Garis Panduan PBRC (Linear-Based) yang telah diterbitkan ini bertujuan membantu pelaksanaan pengurusan cerun yang lebih tersusun, sistematik dan menyeluruh, terutama dalam mengenalpasti dan membuat penilaian tahap bahaya dan risiko cerun. Garis panduan ini merupakan rujukan dan panduan am dalam membuat kerja pemetaan dan menjalankan penilaian ke atas cerun-cerun di jalanraya untuk mengenalpasti tahap bahaya dan risiko cerun.
Dokumen Garis Panduan PBRC (Linear-Based) boleh diakses dan dimuat turun melalui laman sesawang JKR https://jpedia.jkr.gov.my (link is external) di J-Pedia seperti berikut:
J-Pedia → Wiki Notes → Cawangan Kejuruteraan Cerun → Terbitan Cawangan Kejuruteraan Cerun
LAWATAN TURUN PADANG BERSAMA YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA
Seusai majlis pelancaran, YB Timbalan Menteri Kerja Raya dan para dif jemputan bersama-sama dibawa melawat ke tapak Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley Daerah Kinta, Perak dimana CKC merupakan Pengurus Program/ HOPT bagi projek tersebut. Semasa lawatan, taklimat telah disampaikan oleh wakil daripada JKR Perak.
Tapak projek terletak di cerun kritikal kawasan Blue Valley dan skala runtuhan adalah dengan kedalaman 250 meter, sepanjang 600 meter di seksyen 44.1. Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah diberi tanggungjawab supaya projek pembaikan ini berjalan lancar dan dapat disiapkan sepertimana kos, kualiti dan masa yang telah ditetapkan supaya laluan ini dapat digunakan sepenuhnya dengan selamat oleh pengguna jalan raya khususnya bagi tujuan aktiviti ekonomi dan pelancongan.
#IamJKR
#KitaJKR
#JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 722 bacaan