Date: Rabu, Februari 8, 2017
Mesyuarat Teknikal Pembinaan & Penyenggaraan Jalan (MTPPJ) bagi Zon Tengah/Timur dan Zon Selatan telah berlangsung pada 7 Februari 2017 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid, Kementerian Kerja Raya Malaysia yang dirasmikan oleh Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Ir. Hj. Zulakmal Bin Hj. Sufian dan ahli mesyuarat terdiri daripada kakitangan JKR Ibu Pejabat, KPPJ Negeri, Jurutera Daerah di negeri Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta Syarikat Konsesi dengan jumlah keseluruhan peserta adalah seramai 174 orang.
 
Mesyuarat teknikal ini adalah merupakan mesyuarat kali kedua yang diadakan selepas mesyuarat pertamanya yang telah berlangsung di JKR Langkawi bagi Zon Utara pada 17 Ogos 2016. Program yang diadakan ini adalah bertujuan untuk melatih kakitangan JKR dan menyampaikan maklumat kepada semua pihak dan agensi yang terlibat berkaitan pengurusan pembinaan dan penyenggaraan jalan-jalan di Malaysia.
 
Selaras dengan halatuju pelan transformasi JKR, mesyuarat teknikal ini dilengkapi dengan 8 tajuk pembentangan yang disampaikan oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia sendiri dan tajuk pembentangan pada kali ini adalah seperti berikut;
 
1. Isu Kualiti Kerja Penyenggaraan Rutin,
2. Isu Audit Penerimaan Jalan - Lesson Learnt,
3. Isu Dalam Pembinaan Turapan Konkrit,
4. Isu Papan Tanda Tunjuk Arah,
5. Isu-isu Serahan & Senggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat,
6. Isu Prosedur Penutupan Jalan,
7. Isu Serahan dan Senggaraan Jambatan,
8. Isu Kaedah Pewartaan Jalan,
 
Mesyuarat Teknikal Pembinaan dan Penyenggaraan Jalan ini telahpun menyusun pelbagai pengisian bagi memastikan ia mencapai objektif yang telah ditetapkan untuk menggalakkan penimbaan, penjanaan ilmu dan kemahiran berterusan dalam pelbagai bidang yang akhirnya melahirkan pakar dalam pengurusan projek dan aset atau juga disebut sebagai Subject Matter Experts (SME). Pelaksanaan SME ini akan dapat membangunkan kepakaran yang diperlukan oleh jabatan dan seterusnya memperkukuhkan peranan JKR sebagai pusat rujukan teknikal negara.