Date: Jumaat, Ogos 19, 2016

Pada 17 Ogos 2016 (Rabu) lepas telah berlangsungnya Mesyuarat Teknikal Pembinaan & Penyenggaraan Jalan (MTPPJ) Siri 1/2016 bertempat di JKR Langkawi yang disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Ir. Hj. Zulakmal Bin Hj. Sufian dan dihadiri oleh kakitangan JKR Ibu Pejabat, KPPJ Negeri, Jurutera Daerah di negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis serta Syarikat Konsesi dengan jumlah keseluruhan peserta adalah seramai 108 orang.

Mesyuarat teknikal yang julung kali dilaksanakan oleh CSFJ ini merupakan program pertama bagi Zon Utara sebagai titik permulaannya dan akan di susuli dengan mesyuarat teknikal di peringkat Zon Selatan dan Zon Tengah/Timur pada masa akan datang. Program seperti ini adalah bertujuan untuk melatih kakitangan JKR dan menyampaikan maklumat kepada semua pihak dan agensi yang terlibat berkaitan pengurusan pembinaan dan penyenggaraan jalan.

Selaras dengan halatuju pelan transformasi JKR, mesyuarat teknikal ini dilengkapi dengan 11 tajuk pembentangan antaranya; Pelbagai Cara Penjimatan Dari Peruntukan Penyenggaraan Jalan, Kualiti Senggara Rutin, Audit Keselamatan Jalan, Guideline For Selection Of Speed Limit, Isu-isu Serahan & Senggaraan Jambatan, Isu-isu Serahan & Senggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat, Micro Surfing, Kaedah Pewartaan Jalan, Bitumen Quality, Pemasangan Expansion Joint dan Rekabentuk Pavement Untuk Jalan Sedia Ada & Jalan Baru yang disampaikan oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Kerja Raya Malaysia sendiri dan pembentang jemputan daripada pihak industri, Asphalt Innovation Sdn Bhd dan Kemaman Bitumen Company Sdn Bhd.

Mesyuarat Teknikal Pembinaan dan Penyenggaraan Jalan ini telahpun menyusun pelbagai pengisian bagi memastikan ia mencapai objektif yang telah ditetapkan untuk menggalakkan penimbaan, penjanaan ilmu dan kemahiran berterusan dalam pelbagai bidang yang akhirnya melahirkan pakar dalam pengurusan projek dan aset atau juga disebut sebagai Subject Matter Experts (SME). Pelaksanaan SME ini akan dapat membangunkan kepakaran yang diperlukan oleh jabatan dan seterusnya memperkukuhkan peranan JKR sebagai pusat rujukan teknikal negara.