Date: Rabu, Ogos 10, 2022

Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Sarawak telah berlangsung selama tiga (3) hari bermula dari 5 Ogos 2022 (Jumaat) hingga 7 Ogos 2022 (Ahad) dengan jayanya. Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku kementerian penganjur pada sesi jelajah kali ini telah mengambil langkah proaktif dan pragmatik dengan mengetengahkan elemen industri pembinaan melalui Pameran Inovasi dan Teknologi. Ini adalah selaras dengan transformasi negara melalui Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) yang difokus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Konteks pameran juga menjurus kepada Sustainable Development Goals dan ESG (Environmental, Social and Governance).

Pameran yang julung-julung kalinya diadakan ini telah mencipta momentum terbaik dengan menampilkan rekaan serta ideologi berkonsepkan instrumen yang paling efektif menerusi kepelbagaian hamparan pameran yang unik berhubung kait dengan inovasi dan teknologi terkini dalam industri pembinaan. Pameran ini melibatkan kolaborasi oleh agensi teknikal di bawah KKR iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Pelbagai perkongsian informasi berkaitan produk dan edukasi teknologi serta aktiviti-aktiviti menarik telah diadakan merangkumi produk dan teknologi baharu industri pembinaan, poster, bunting, pertandingan serta bahan rujukan fizikal dan virtual.

 

Antara produk inovasi dan teknologi yang telah dipamerkan dan menjadi daya tarikan pengunjung adalah produk inovasi daripada JKR iaitu sistem i-Supervision 2.0, Speed Sign Radar, Electric Vehicle Conversion, Smart Traffic Light, JKR e-Tendering (JET), Median Night Reflector, e-Novat, Ez-Jacker, V-DER dan juga produk CREAM, CIDB iaitu Interlocking Hollow Block System (IHBS). Selain itu, pameran ini juga melibatkan pemain industri pembinaan yang terdiri daripada syarikat/vendor yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing. Antara produk-produk yang dipamerkan adalah Fibre Reinforced All Weather Cold Mix Asphalt, Super Fibre Mix & Fiber Reinforced Concrete, Segmental Bridge Solution Provider, Green Roofing System, AAC Light Weight Block, Electronics Routine Inspector, Pavement Condition Assessment Advance Technologies, Laser Crack Detection dan Sistem Pengurusan Aset Jalan.

 

Selain inisiatif mengetengahkan inovasi dan teknologi pembinaan, KKR juga turut menjemput Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang begitu sinonim dengan inovasi dan teknologi. Antara pameran MOSTI yang telah menjadi daya tarikan tambahan pengunjung adalah Mini Planetarium yang mana ia merupakan pavilion yang mempunyai interaktif pengisian dan membolehkan pengunjung masuk ke dalamnya.

 

Pameran yang berlangsung selama tiga (3) hari ini telah dihujani dengan kehadiran ribuan pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti, pemain industri pembinaan, orang awam, kakitangan agensi awam dan swasta. Pengunjung dapat meneroka dan menggarap idea-idea berdaya maju yang melonjakkan pemikiran serta resepi kejayaan sebagai pembuka laluan kepada masa hadapan yang gemilang.

 

Pameran turut diserikan dengan lawatan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha (KSU) KKR pada 5 Ogos 2022 (Jumaat) dengan diiringi oleh YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan bin Zakaria selaku Ketua Sekretariat bagi jawatankuasa pameran ini. Pihak JKR amat berbesar hati di atas kesudian YBhg. Dato’ Wira KSU yang telah meluangkan masa mengunjungi setiap reruai bagi memberikan sokongan kepada pempamer yang terlibat.

Lebih menarik lagi, pada 6 Ogos 2022 (Sabtu), YB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya (MKKR) diiringi YBhg. Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) Malaysia turut meluangkan masa melawat reruai pameran. YB Dato’ Sri MKKR turut menyampaikan sijil penghargaan kepada setiap pempamer serta diberikan juga kepada JKR dan CIDB selaku penyelaras pameran bagi menzahirkan ucapan tahniah di atas kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan pameran ini.

Seawal pagi pada 7 Ogos 2022 (Ahad), pameran ini telah menerima kunjungan daripada YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya dengan diiringi oleh YBhg. Dato’ Seri KPKR. YB Datuk Arthur Joseph Kurup telah diberi taklimat ringkas di setiap reruai pempamer yang telah dikunjungi.

Kemuncaknya, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia turut meluangkan masa melawat reruai pameran. Kehadiran YAB Perdana Menteri Malaysia diiringi oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak. YAB Perdana Menteri Malaysia telah diberikan taklimat ringkas mengenai produk inovasi dan teknologi oleh beberapa pempamer termasuk daripada JKR sendiri. Sesungguhnya, pihak JKR menzahirkan rasa syukur dan amat berbesar hati di atas kunjungan YAB Perdana Menteri Malaysia dan ianya menjadi pembakar semangat serta pemangkin kepada warga JKR untuk terus berusaha memartabatkan industri pembinaan di peringkat nasional dan global.

Secara kolektifnya, pameran inovasi dan teknologi industri pembinaan ini telah menjadi platform ledakan informatif dalam berkongsi idea baharu menerusi produk-produk inovasi berteknologi untuk dimanfaatkan oleh pihak pemain industri, kumpulan akademik dan juga orang awam khususnya dari konteks bidang pembinaan. Semoga pameran yang diadakan ini menjadi platform dalam memartabatkan profesion teknikal, STEM dan TVET.