Date: Jumaat, Jun 23, 2017

Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensi di bawahnya iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) sekali lagi menganjurkan Acara Coffee Break sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2017. Ia diadakan dengan kerjasama syarikat-syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia sebagai tanggungjawab sosial korporat (Corporate Social Responsibility) dan usaha ke arah meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya pada musim perayaan.

Melalui acara coffee break ini, pengguna jalan raya disediakan minuman secara percuma bermula pada 22 hingga 23 Jun 2017, dan disambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri pada 28 hingga 29 Jun 2017. Pemberian minuman secara percuma diharapkan dapat memberi kesegaran semula (refresher) kepada pemandu yang keletihan dan dapat mengembalikan fokus pemanduan ke destinasi masing-masing dalam mengukir detik indah Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Acara ini dirasmikan oleh YB Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof di Stesen Petronas PSS Ampangan 2, FT51, Jalan Seremban - Kuala Pilah, Seremban, Negeri Sembilan pada 22 Jun 2017. Majlis perasmian turut dihadiri oleh YB Dato' Haji Ismail Bin Lasim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan dan Integrasi Nasional Merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sembilan, Y.Bhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Y.Bhg. Dato’ Ir. Ahmad Asri bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Y.Bhg. Dato' Dr. Meor Abdul Aziz Bin Hj. Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) dan pegawai kanan JKR dan syarikat konsesi.

Acara ini turut dilancarkan serentak di seluruh Semenanjung Malaysia bertempat di sepuluh (10) lokasi strategik dan popular yang menjadi tempat persinggahan semasa musim cuti perayaan.