Date: Rabu, March 30, 2022

Satu majlis ringkas telah diadakan bagi pelancaran Laporan Kajian Tahap Kefahaman dan Kebolehlaksanaan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) 2021-2025. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia pada 30 Mac 2022 (Rabu) bertempat di Ruang Mezanine Kanan, Aras M, Blok G, Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Ironinya, Dokumen Laporan Kajian Tahap Kefahaman dan Kebolehlaksaan Pelan Strategik JKR 2021-2025 telah dibangunkan oleh Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) JKR Malaysia. Dokumen ini dihasilkan selaras dengan manifestasi iltizam Jabatan dan usaha signifikan serta hasrat kejayaan dalam memastikan pencapaian Pelan Strategik JKR Malaysia 2021-2025 sentiasa berada di tahap melebihi sasaran secara signifikan sepertimana yang telah ditetapkan.

Dokumen yang terhasil ini juga bertindak sebagai medium perkongsian informasi Jabatan kepada seluruh warga JKR dan juga sebagai dokumen lesson learnt dalam memperkukuh inklusiviti ke arah pemerkasaan serta pemantapan kefahaman warga JKR terhadap Pelan Strategik JKR Malaysia. Secara dasarnya, objektif utama kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap kefahaman warga JKR terhadap Pelan Strategik JKR 2021-2025, mengenal pasti isu-isu berkaitan Pelan Strategik JKR 2021-2025, menilai pandangan warga JKR terhadap Pelan Strategik JKR 2021-2025 dan memberi cadangan penambahbaikan bagi memperkukuhkan kefahaman warga JKR terhadap Pelan Strategik JKR 2021-2025. Hakikatnya, dapatan kajian adalah langkah agresif dalam mewujudkan transformasi strategik serta momentum kebersamaan yang akan mencetuskan impak keberhasilan perkhidmatan yang lebih efektif dan mampan.

Simbolik pelancaran adalah sesi penyerahan Dokumen Laporan oleh YBhg. Datuk KPKR kepada:

  1. YBhg Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool​ (Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra) – selaku Penaja Pelan Strategik JKR
  2. YBrs Sr. Amran bin Haji Mohd Majid (Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Pakar)
  3. YBrs. Ir. Haji Zulkipli bin Haji Nasri (Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu) – Peneraju Tema 1
  4. YBrs. Pn. Nik Ainun Zanariah binti Nik Abd. Rashid (Pengarah Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1) - Peneraju Tema 2
  5. YBrs. Ir. Haji Badioezaman bin Ab. Khalik (Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan awam dan Struktur) - Peneraju Tema 3
  6. YBhg. Datin Ar. Yong Razidah binti Rashid (Menjalankan Tugas Pengarah Kanan Cawangan Arkitek) - Peneraju Tema 4
  7. YBrs. Ir. Hanizan binti Shaffii (Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik) - Peneraju Tema 5

 

 

Majlis pelancaran ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria selaku Sekretariat Pelan Strategik JKR Malaysia.

Sesungguhnya kajian yang dijalankan bertindak sebagai pendorong kepada warga JKR untuk berubah ke arah mencipta kecemerlangan dan peningkatan komitmen secara total. Intihanya, keperluan untuk  menghayati dengan mendalam intipati Pelan Strategik JKR 2021-2025  adalah langkah efektif mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti secara sistematik dan praktikal.

Semoga pelancaran ini akan mencetuskan gelombang peningkatan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan oleh seluruh warga JKR. Usaha yang dirintis ini, diharapkan dapat mencetuskan tranformasi minda warga JKR untuk terus komited dan konsisten dalam merealisasikan inisiatif-inisiatif yang digariskan dalam Pelan Strategik JKR 2021-2025.