Date: Selasa, Oktober 26, 2021

Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah mengadakan Majlis Pelancaran Laporan Pencapaian Prestasi Pelan Bisnes dan KPI Pengarah CDPK Tahun 2016-2020 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah CDPK pada 26 Oktober 2021 (Selasa) bertempat di Bilik Mesyuarat Nilam 1, Blok G, Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur. Majlis pelancaran ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria selaku Ketua Sekretariat Pelan Bisnes CDPK.

Sebagai simbolik pelancaran, majlis juga disusuli dengan sesi penyerahan Laporan Pencapaian Pelan Bisnes dan KPI Pengarah CDPK Tahun 2016-2020 oleh YBhg. Dato’ Pengarah CDPK kepada sebelas (11) Ketua Bahagian di CDPK yang terdiri daripada:

  1. Bahagian Integriti (BaI);
  2. Pasukan Projek J10 (J10);
  3. Bahagian Sekretariat (BS);
  4. Bahagian Pengurusan Kualiti (BPK);
  5. Bahagian Teknologi Maklumat (BTM);
  6. Bahagian Komunikasi Korporat (BKK);
  7. Bahagian Kewangan dan Akaun (BKA);
  8. Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM);
  9. Bahagian Pembangunan Skim Kejuruteraan (BPSK);
  10. Bahagian Penyelarasan dan Khidmat Sokongan (BPKS); dan
  11. Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP).

Laporan pencapaian ini menterjemahkan komitmen serta muafakat jitu yang mencetuskan kecemerlangan serta keberhasilan Pelan Bisnes dan KPI Pengarah CDPK sepanjang tempoh lima (5) tahun yang lalu. Antara intipati utama laporan tersebut adalah rumusan kecemerlangan pencapaian keseluruhan Pelan Bisnes dan KPI Pengarah merangkumi kelima-lima Tema Strategik JKR. Ianya membuktikan bahawa keberhasilan dalam Pelan Bisnes CDPK Tahun 2016-2020 telah dapat direalisasikan melalui pelaksanaan pelan tindakan dan pelan operasi yang mantap, serta resilient dan agile melalui pemantauan yang holistik.

Semoga pelancaran ini akan mencetuskan momentum semangat kepada seluruh warga CDPK untuk terus komited dan konsisten dalam merealisasikan inisiatif-inisiatif untuk 5 tahun akan datang sebagaimana dinyatakan dalam Pelan Bisnes CDPK 2021-2025. Sekaligus akan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang terbaik berteraskan kecemerlangan dan keberhasilan menyeluruh.