Date: Selasa, Disember 6, 2016
Sesi hebahan dan Pelancaran Pelan Strategik JKR 2016-2020 & Pelan Transformasi JKR 2016-2018 telah diadakan pada 6 Disember 2016 bertempat di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Menara Lembaga Pertubuhan Peladang Kuala Lumpur.Majlis telah dihadiri oleh barisan Pengurusan Tertinggi JKR, Pengurusan Atasan dan Pegawai Jabatan Kerja Raya yang terlibat.
 
Pelancaran Pelan Strategik JKR 2016-2020 dan Pelan Transformasi JKR 2016-2018 ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (KPKR) YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha. Majlis dimulakan dengan doa dan diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pengarah CDPK, YBhg.Dato' Ir. Hj. Mohd Jamal bin Sulaiman. Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Dato' Sri KPKR. Antara intipati ucapan beliau adalah:
 
1) JKR perlu mengambil langkah yang berterusan untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan di dalam penyampaian perkhidmatan bagi mewujudkan pembangunan yang lebih mapan selari dengan aspirasi kerajaan melalui program-program transformasi kerajaan, yang berpegang kepada empat (4) tonggak utama iaitu: 
i. Falsafah Induk 1Malaysia “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”
ii. Program Transformasi Kerajaan (GTP)
iii. Program Transformasi Ekonomi (ETP) bersandarkan Model Baru Ekonomi
iv. Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), yang dijangka mengutamakan projek-projek berimpak tinggi dengan kos yang rendah serta memastikan pelaksanaan yang cekap dan pantas.
 
2) Pelan Strategik JKR adalah bertujuan untuk memastikan bahawa inisiatif yang dilaksanakan memenuhi matlamat Negara untuk menyediakan perkhidmatan awam yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan yang paling tinggi. JKR berhasrat agar Pelan Strategik yang baru ini akan memeta haluan bagi mempergiatkan lagi usaha-usaha kita untuk mencapai visi, misi dan objektif Jabatan.
 
3) Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) melalui Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP) telah menjalankan program Roadshow Pelan Strategik JKR 2016-2020 dan Pelan Transformasi JKR 2016-2018 ini ke seluruh Negara, meliputi Cawangan dan JKR Negeri bertujuan untuk memberi pendedahan, pengetahuan dan juga pemahaman terhadap Pelan Strategik JKR 2016-2020 dan juga Pelan Transformasi JKR 2016 - 2018. Selain itu ianya juga bertujuan sebagai panduan asas dalam penghasilan Pelan Bisnes Cawangan dan Negeri.
 
Majlis diteruskan dengan Gimik Pelancaran, tayangan montaj dan sesi penyampaian Anugerah Penghargaan kepada Cawangan dan Negeri yang paling awal menghasilkan Pelan Strategik di peringkat masing-masing. Majlis bersambung selepas berhenti rehat pada jam 10.30 pagi dengan sesi Taklimat Pelan Strategik JKR 2016-2020 yang telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Marina bt Musa, Juruukur Bahan Penguasa, BPPP CDPK. Seterusnya taklimat Pelan Tranformasi JKR 2016-2018 disampaikan oleh YBhg. Dato' Ir. Hj. Mohd Daud bin Harun, Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu JKR Malaysia sebelum berakhir sekitar jam 1.00 petang.