Date: Jumaat, November 22, 2019

Simposium Kerajaan Tempatan Peringkat Kebangsaan ini buat julung kalinya telah diadakan bagi memartabat dan mengekalkan warisan budaya tempatan terutamanya dari konteks Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Simposium ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri KPKT, YBM Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Ibni Raja Ahamad Baharuddin Shah. Simposium selama dua hari ini juga telah mengenengahkan 16 speaker dari pelbagai latar belakang melalui tema dan kluster yang berbeza bagi mengupas isu-isu semasa berkaitan pemuliharaan bangunan warisan. Antaranya:

Tema 1: Pemerkasaan Pemeliharaan Aset Warisan Negara berdasarkan Perspektif Perundangan
Tema 2: Pelaksanaan Pengurusan Aset Warisan Negara di Pihak Berkuasa Tempatan
Tema 3: Pemerkasaan Pemeliharaan Aset Warisan Negara daripada Perspektif Ahli Akademik
Tema 4: Pengkongsian Pengalaman di dalam Penyelidikan dan Pelaksanaan Projek-Projek Konservasi

Dalam Simposium ini, Dr. Mohd Sabere Sulaiman (SME Konservasi & Konservator Berdaftar) Arkitek Penguasa Kanan dari Bahagian Kepakaran Konservasi, Cawangan Arkitek IPJKR Malaysia mewakili JKR telah membentangkan kertas kerja bertajuk “JKR Peneraju Pemuliharaan Aset Warisan” di bawah Tema 4.

Simposium ini turut dihadiri seramai lebih 300 orang termasuk pegawai-pegawai JKR, Arkitek, Perancang Bandar, NGOs, Konservator dan ahli akademik.  Antara intipati utama simposium ini adalah pemerkasaan warisan negara melalui penguatkuasaan perundangan, pelaksanaan pemeliharaan aset warisan negara berasaskan mekanisme terbaru dan berdayalaksana, menjadikan warisan itu sebagai roh dan jatidiri sesebuah kawasan atau lokasi, penglibatan komuniti dan pihak swasta di dalam melestarikan warisan negara, peranan PBT melalui penyediaan Rancangan Pemajuan, penguatkuasaan undang-undang, garis panduan, kaedah serta suntikan dana yang memberangsangkan untuk kesinambungan warisan negara dan yang terakhir ialah peranan ahli akademik dan pemain industry di dalam membuat penyelidikan dan dokumentasi berkaitan dengan warisan negara.

Adalah perlu bagi JKR amnya dan PBT khususnya bersama-sama merangka strategi untuk mengekalkan monumen negara ini agar warisan dan khazanah negara tidak akan lenyap di bawa arus permodenan.