Date: Selasa, Ogos 1, 2023

Majlis Penyerahan Projek Siap bagi Pembinaan Baharu 2BD Prasekolah dan Pembekalan Peralatan serta Lain-Lain Kemudahan di SK Penghulu Ahmad, Langkawi, Kedah telah berlangsung dengan jayanya pada 25 Julai 2023 (Selasa) bertempat di SK Penghulu Ahmad, Langkawi, Kedah. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Ts. Khairul Azlan bin Abdullah, Jurutera Daerah JKR Langkawi selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Tuan Abdul Rahim Bin Mat, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Perancangan Dan Pengurusan PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman di mana Cawangan Kerja Pendidikan telah dilantik sebagai Pengurus Program dan Bahagian Bangunan JKR Negeri Kedah dilantik sebagai Penolong Pengurus Program. Pembinaan projek ini telah dipertanggungjawabkan kepada Jurutera Daerah JKR Langkawi selaku Pegawai Penguasa dan Jurutera Bangunan JKR Langkawi selaku Wakil Pegawai Penguasa Utama. Perolehan projek ini telah dilaksanakan secara tender terbuka dan syarikat Setar Jaya Sdn. Bhd. telah dilantik sebagai kontraktor utama. Projek ini telah bermula pada 1 Ogos 2022 dan siap sepenuhnya pada 19 Jun 2023. Atas komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak, projek ini telah berjaya disiapkan lebih awal daripada tarikh siap semasa, iaitu sebanyak 41 hari awal.

Dalam usaha pihak JKR memberikan produk akhir kepada pelanggan, penambahbaikan dalam pengurusan projek sentiasa diberi penekanan dan perhatian yang khusus. JKR sentiasa berusaha dalam memenuhi keberkesanan pengurusan projek dengan menambahbaik pencapaian agar projek yang dilaksanakan JKR dapat disiapkan memenuhi kriteria 3 dalam 1 iaitu ;

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah diperakukan pada 19 Jun 2023;
  2. Penyata Akaun Muktamad (SOFA);
  3. Lukisan Siap Bina

Disamping nilai tambah yang lain iaitu :

  1. Operation & Manual (O & M);
  2. Projek berjaya disiapkan lebih awal tarikh siap semasa (41 hari).
  3. Penjimatan daripada kos kontrak asal;
  4. Projek siap tanpa lanjutan masa;
  5. Zero Major Defects;
  6. Zero Lost Time Injuries (LTI) dan
  7. Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Jurutera Daerah JKR Langkawi selaku Pegawai Penguasa, Jurutera Bangunan JKR Langkawi selaku Wakil Pegawai Penguasa Utama, Bahagian Arkitek JKR Kedah, Bahagian Kontrak & Ukur Bahan JKR Kedah, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Kedah dan Cawangan Kejuruteraan Elektrik Kedah selaku Wakil Pegawai Penguasa Pakar dengan kerjasama dan ‎sokongan yang sangat baik daripada Pasukan HOPT iaitu Cawangan Kerja Pendidikan dan Bahagian Bangunan JKR Negeri Kedah. Ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada pihak pelanggan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah serta kepada semua yang telah menjayakan perlaksanaan projek ini.