Date: Rabu, November 1, 2017

Projek Membina Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan, Pakej 1B telah berjaya menjadi projek pertama yang menggunakan teknologi baru turapan asphalt terubahsuai getah bekuan atau CupLump Modified Asphalt (CMA). Inovasi yang terdapat dalam penggunaan CMA adalah  menggunakan getah beku asli untuk dijadikan bahan tambah dalam campuran asphalt. Pembinaan jalan menggunakan turapan CMA dalam projek ini adalah sepanjang 2 kilometer.

Penurapan CMA telah berjaya dilaksanakan pada 31 Oktober 2017 dan disaksikan oleh Pengarah Pakar Kejuruteraan Jalan & Jambatan, Cawangan Jalan, YBhg. Dato’ Ir. Haji Che Noor Azeman bin Yusoff.  Projek ini telah dilaksanakan oleh beberapa pihak di Cawangan Jalan termasuk Bahagian Pengurusan Projek ECER, Pegawai Penguasa Projek ECER dan Bahagian Rekabentuk Jalan Zon Utara.

Inisiatif penggunaan teknologi ini bermula daripada pelaksanaan kajian bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM)  dan Jabatan Kerja Raya  (JKR) sejak 2015. Kajian keberkesanan penggunaan CMA juga akan dilaksanakan selepas pembinaan projek ini selesai.

JKR mensasarkan projek seterusnya yang akan menggunakan teknologi CMA ini adalah di Projek Membina Semula Jalan Persekutuan FT001 dari  Kampung  Desa Bertemu Jodoh  hingga ke Kampung  Kwong Sai, Daerah Segamat, Johor sepanjang 10km.

Penggunaan turapan CMA ini merupakan salah satu pencapaian JKR melalui Cawangan Jalan dalam menerajui penggunaan teknologi baru bagi projek pembinaan jalan di Malaysia.